
KUCHING: Sarawak komited untuk menjadi peneraju dalam agenda mobiliti hijau dan pembangunan ekonomi berasaskan kelestarian dengan memberi tumpuan kepada inovasi, bakat serta tenaga boleh diperbaharui.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg menegaskan bahawa usaha itu selari dengan aspirasi Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030) untuk menjadikan Sarawak negeri maju dan berpendapatan tinggi menjelang 2030.

Jelasnya, Sarawak telah merangka lima tonggak utama dalam membangunkan ekonomi hijau, iaitu tenaga boleh diperbaharui, ekonomi hidrogen, pengangkutan lestari, ekonomi kitaran dan pembangunan bakat hijau.
“Antaranya termasuk pelaburan besar dalam tenaga hidro, solar, angin serta hidrogen, selain memperkenalkan bas hidrogen, kenderaan sel bahan api dan bas elektrik.
“Ringkasnya, kita bukan sekadar menyesuaikan diri dengan ekonomi hijau tetapi kita turut membantu membentuknya,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapannya yang dibacakan oleh Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat, Datuk Roland Sagah Wee Inn ketika merasmikan Sidang Kemuncak Inovasi Mobiliti Hijau 2025 di Imperial Hotel, hari ini.

Premier Sarawak turut menekankan kepentingan kerjasama rentas sempadan dalam mempercepatkan agenda mobiliti hijau.
“Tiada satu negara atau negeri mampu mencapai transformasi itu secara bersendirian, sebaliknya memerlukan dialog global, penyelidikan bersama, pembangunan kapasiti dan pertukaran ilmu.
Beliau turut menjelaskan bahawa Sidang Kemuncak Inovasi Mobiliti Hijau bukan sekadar persidangan, ia pemangkin kepada kerjasama, inovasi dan pelaburan yang mampu memberi kesan kepada dasar, perniagaan baharu dan komuniti.
“Mobiliti hijau bukan hanya tentang kereta yang lebih bersih atau bas yang lebih pintar, tetapi tentang mewujudkan bandar lestari, komuniti inklusif, serta planet yang berdaya tahan untuk generasi akan datang.
“Saya menggesa semua peserta untuk memanfaatkan platform ini bagi bertukar idea, membina kerjasama dan beriltizam kepada tindakan.
“Saya juga ingin merakamkan penghargaan kepada Kementerian Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat, Sarawak Skills, serta Kawasan Pertumbuhan Timur ASEAN-Brunei-Indonesia-Malaysia-Filipina (BIMP-EAGA) sebagai penganjur bersama,” jelasnya.
Turut diberikan penghargaan ialah rakan strategik termasuk Kementerian Sumber Manusia (KESUMA), Kementerian Pengangkutan (MOT), Persekutuan Pusat Pembangunan Kemahiran Malaysia (FMSDC), Jabatan Perniagaan dan Perdagangan Suruhanjaya Tinggi British di Kuala Lumpur, Yayasan Peneraju serta Business Events Sarawak (BESarawak).
Sidang tiga hari itu dijangka menjadi landasan penting dalam memperkukuh kerjasama serantau dan global ke arah mobiliti hijau yang mampan.
Lebih 750 delegasi dari Malaysia, China, United Kingdom, Singapura, Filipina, Brunei Darussalam, Indonesia dan Australia menghadiri sidang yang menghimpunkan lebih 30 penceramah, moderator dan ahli panel.
Oleh Masrin Affirah