
VIENNA, Austria: Sarawak meneliti pendekatan pembangunan bandar pintar dan tenaga boleh diperbaharui yang dilaksanakan di Austria bagi memperkukuh perancangan pembangunan mampan di Limbang dan Lawas.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan mengetuai delegasi kerajaan negeri mengadakan lawatan rasmi ke projek pembangunan bandar Aspern Seestadt dan Loji Janakuasa Hidro Freudenau di sini pada Khamis.
Menurut beliau, pengalaman Vienna dalam membangunkan Aspern Seestadt daripada bekas lapangan terbang kepada sebuah bandar moden dan lestari memberi panduan berguna dalam penyediaan Pelan Tempatan Limbang-Lawas 2035.
“Sarawak sedang melaksanakan agenda pembangunan yang menitikberatkan keseimbangan antara kemakmuran ekonomi, keterangkuman sosial dan kelestarian alam sekitar sejajar dengan Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030.
“Penanda aras utama daripada Aspern Seestadt bukan sahaja pembangunan fizikalnya, tetapi pendekatan perancangan yang mengintegrasikan perumahan, pekerjaan, pendidikan, rekreasi, pengangkutan awam, ruang hijau dan aktiviti ekonomi dalam satu persekitaran bandar yang tersusun.
“Pendekatan tersebut boleh membantu Sarawak merangka pelan pembangunan yang lebih strategik dan berorientasikan pelaksanaan khususnya bagi pusat pertumbuhan seperti Limbang dan Lawas,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau turut menegaskan bahawa pelan tempatan berkenaan perlu melangkaui konsep pengezonan guna tanah konvensional dengan menyediakan kerangka menyeluruh melibatkan pembangunan perumahan, komersial, pelancongan, logistik, kemudahan awam, pelaburan infrastruktur dan pemuliharaan alam sekitar.
Dalam lawatan berasingan ke Loji Janakuasa Hidro Freudenau, beliau berkata projek itu menjadi contoh bagaimana pembangunan tenaga hidro boleh digabungkan dengan pengurusan sungai, pembangunan bandar, perlindungan alam sekitar dan kesedaran awam.
“Pengalaman tersebut penting dalam memperkukuh perancangan tenaga boleh diperbaharui, pembangunan rendah karbon serta daya tahan iklim di Sarawak.
“Pengetahuan yang diperoleh daripada Freudenau akan mengukuhkan pendekatan kita terhadap perancangan tenaga boleh diperbaharui, pembangunan rendah karbon, daya tahan iklim dan pembangunan wilayah yang mampan,” jelasnya.
Beliau menambah, pendekatan yang dipelajari daripada Austria dijangka membantu mewujudkan kerangka pembangunan yang lebih jelas, berdaya tahan dan mesra pelaburan bagi menyokong perdagangan sempadan, logistik, pelancongan, industri berasaskan pertanian serta kerjasama serantau dengan Brunei, Sabah dan Kalimantan.
Lawatan itu turut menyokong aspirasi Sarawak untuk muncul sebagai hab tenaga bersih serantau dan “Bateri Hijau ASEAN” melalui pemanfaatan sumber tenaga boleh diperbaharui yang dimiliki negeri ini.