
KUCHING: Sarawak menegaskan komitmennya untuk terus mempertahankan hak, autonomi serta kedudukan sebagai rakan setara dalam Persekutuan Malaysia seperti termaktub di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Undang-Undang, MA63 dan Hubungan Negeri-Persekutuan), Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali, berkata demikian ketika berucap pada Siri Syarahan Undang-Undang Antarabangsa 2025 yang diadakan di Kuching, hari ini.
Menurut beliau, MA63 bukan sekadar dokumen sejarah tetapi merupakan batu asas kepada pembentukan Malaysia sebagai sebuah negara berdaulat yang menjamin hak serta autonomi Sarawak dan Sabah.
“MA63 adalah tonggak kepada Persekutuan Malaysia. Ia bukan sekadar perjanjian lampau, tetapi masih hidup dan terus melindungi hak rakyat Sarawak dan Sabah sehingga kini,” tegasnya.

Beliau turut menjelaskan bahawa pelbagai kemajuan telah dicapai hasil rundingan antara kerajaan negeri dan kerajaan persekutuan, termasuk pindaan kepada Perkara 1(2) dan Perkara 160(2) Perlembagaan Persekutuan yang mengembalikan semula status Sarawak dan Sabah sebagai rakan kongsi setara seperti yang dipersetujui dalam MA63.
Selain itu, pindaan terhadap Akta Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia 1995 (Akta 533) yang membolehkan wakil tetap dari kerajaan Sarawak dan Sabah dilantik sebagai ahli lembaga turut dianggap sebagai kejayaan penting hasil perundingan tersebut.
Beliau turut menekankan isu ketidakseimbangan perwakilan di Parlimen yang kini menunjukkan penyusutan kerusi Sabah dan Sarawak kepada hanya 25.23 peratus (56 kerusi) berbanding 35 peratus yang diperuntukkan semasa pembentukan Malaysia pada 1963.
“Perwakilan satu pertiga itu bukan angka sewenang-wenangnya. Ia pelindung penting supaya tiada pindaan Perlembagaan boleh dibuat secara sehala tanpa persetujuan rakan-rakan dari Borneo,” jelasnya.
Katanya, pengurangan perwakilan itu telah menjejaskan kedudukan Sarawak dan Sabah serta membuka ruang kepada pindaan yang melemahkan semangat rakan kongsi setara seperti yang digariskan dalam MA63.
Antara pindaan yang pernah memberi kesan besar termasuk perubahan kepada Perkara 1(2) pada tahun 1976 yang menurunkan taraf Sarawak dan Sabah sebagai negeri biasa, penambahan pelancongan dalam senarai persekutuan pada tahun 1994, serta penarikan kuasa Yang di-Pertua Negeri untuk melantik Pesuruhjaya Kehakiman.
Beliau turut menegaskan bahawa pelbagai perlindungan seperti kawalan imigresen, hak tanah adat, kebebasan beragama, bahasa, hasil bumi dan kewangan bukanlah konsesi sementara, tetapi syarat utama penyertaan Sarawak dan Sabah dalam pembentukan Malaysia.
“Rakyat Sarawak dan Sabah ialah penerima manfaat sebenar MA63. Maka menjadi tanggungjawab kita untuk memastikan hak-hak ini terus ditegakkan,” ujarnya.
Beliau turut memetik keputusan mahkamah dalam kes Fung Fon Chen @ Bernard v Kerajaan Malaysia, yang menegaskan hak-hak tersebut sebagai syarat sah pembentukan Malaysia.
Katanya, walaupun perjuangan menuntut pelaksanaan penuh MA63 tidak selalu mudah, Sarawak kini bersatu dalam satu suara yang teguh dan berprinsip.
“Ini bukan tuntutan baharu, tetapi hak yang telah dijamin sejak awal. Menghormati MA63 bukan hanya menghargai sejarah, tetapi menjamin masa depan,” ujarnya.
Beliau menegaskan bahawa kekuatan Malaysia bergantung pada kekuatan rakan kongsi Borneo.
“Apabila Sarawak dan Sabah kuat, Malaysia juga kuat. Mengembalikan keseimbangan dalam perwakilan dan autonomi bermakna mengembalikan keyakinan terhadap Persekutuan itu sendiri,” tambahnya.
Majlis berkenaan turut menampilkan dua tokoh akademik terkemuka, Profesor Michael Leigh dan Profesor Andrew Harding, yang berkongsi pandangan tentang evolusi hubungan persekutuan–negeri serta cabaran pelaksanaan MA63 dalam konteks perlembagaan masa kini.
Oleh Norman B.