
KUCHING: Sarawak terus komited memperkasa tadbir urus berintegriti dan memerangi rasuah secara menyeluruh demi kemakmuran negeri serta kelestarian rantau Borneo.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg menegaskan bahawa nilai integriti mesti dijadikan teras dalam pentadbiran, pembangunan sosioekonomi dan urus tadbir rentas sempadan demi membina sebuah negeri yang maju dan berdaya tahan.
“Tadbir urus yang cekap, telus dan bebas rasuah adalah prasyarat penting ke arah pembangunan mampan dan kepercayaan rakyat terhadap institusi,” katanya dalam teks ucapan yang dibacakan oleh Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Sidang Kemuncak Integriti Antarabangsa Borneo (Borneo International Integrity Summit – BISS) 2025 yang berlangsung di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) di sini, hari ini.

Menurut Premier Sarawak, BISS 2025 yang menghimpunkan pelbagai pihak termasuk penggubal dasar, penyelidik, penjawat awam dan pertubuhan antarabangsa merupakan platform penting dalam memupuk budaya integriti dalam ekosistem pembangunan serantau.
“Sidang ini bukan hanya medan pertukaran ilmu dan pandangan, malah menzahirkan komitmen kolektif kita dalam membina wilayah Borneo yang bersih, stabil dan berintegriti tinggi.
“Kita juga mahu menanamkan kesedaran bahawa integriti bukan tanggungjawab satu pihak semata-mata, sebaliknya merupakan nilai bersama yang mesti dipertahankan oleh semua lapisan masyarakat,” ujarnya.
Dalam pada itu, beliau turut merakamkan penghargaan kepada Majlis Islam Sarawak dan rakan strategik lain kerana menjadikan BISS 2025 sebagai salah satu acara kemuncak sempena Sambutan 70 Tahun Majlis Islam Sarawak.
Oleh Shikin Mahmud