
SIBU: Kerajaan Sarawak menegaskan pendiriannya untuk mengharamkan penggunaan rokok elektronik atau vape dalam masa terdekat.
Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Michael Tiang Ming Tee, berkata perkara itu bukan lagi soal perdebatan, sebaliknya hanya menunggu masa untuk dikuatkuasakan.
“Di peringkat Persekutuan, keputusan sudah jelas. Ia bukan lagi persoalan sama ada mahu haramkan vape, tetapi bila ia akan diharamkan. Kabinet negeri juga telah membincangkan perkara ini dan kita sehaluan dalam pendirian,” katanya.
Beliau ditemui pemberita selepas menghadiri Majlis Penyerahan Subsidi Kelahiran Bayi dan Pasangan Pengantin Baharu bagi kawasan DUN Pelawan di sini, hari ini.
Menurut Tiang, vape kini terbukti memberi kesan kesihatan lebih serius berbanding rokok biasa dan lebih membimbangkan apabila ada pihak menyalahgunakannya sebagai medium penagihan dadah.
“Vape adalah isu yang sangat serius. Dari kononnya alternatif kepada rokok, ia sudah berubah menjadi saluran ketagihan dadah. Kerajaan negeri menentang keras aktiviti ini,” tegasnya.
Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang awam dan usahawan agar tidak melabur atau membuka perniagaan berkaitan vape kerana pengharaman menyeluruh akan dilaksanakan dalam masa terdekat.
Oleh Tarani Lanting