Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • SEMASA
  • Sarawak tawar insentif tambahan tarik pelabur Singapura
  • SEMASA

Sarawak tawar insentif tambahan tarik pelabur Singapura

Utusan Sarawak 2 days ago
DATUK Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg bercakap kepada media. Foto UKAS

SINGAPURA: Sarawak menawarkan pelbagai insentif tambahan kepada para pelabur, khususnya syarikat dari Singapura, sebagai pelengkap kepada insentif yang disediakan oleh Kerajaan Persekutuan melalui Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA).

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, insentif tambahan tersebut termasuk saiz dan harga tanah yang lebih kompetitif, serta bayaran premium yang berpatutan.

Menurutnya, Sarawak juga memberikan konsesi kadar tarif tenaga kepada pelabur, menjadikannya sebagai wilayah yang mempunyai kadar tarif tenaga terendah di Malaysia.

“Bergantung kepada bentuk dan skop pelaburan, insentif ini akan dirundingkan antara pihak berkuasa negeri, khususnya Sarawak Energy Berhad (SEB) dan Kementerian Pembangunan Bandar dan Sumber Asli untuk mencapai keseimbangan dan menarik pelaburan strategik ke Sarawak,” katanya kepada media selepas merasmikan Sarawak Mega Fair 2025, di Pusat Persidangan dan Pameran Suntec, di sini.

LAWAT.. Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg melawat ke salah sebuah reruai di Sarawak Mega Fair 2025, di Pusat Persidangan dan Pameran Suntec, Singapura. Foto UKAS

Dalam perkembangan lain, Abang Johari turut memaklumkan bahawa terdapat persetujuan prinsip antara Sarawak dan Singapura untuk membekalkan tenaga hijau melalui satu koridor khas.

Ke arah itu menurutnya, Sarawak menyasarkan untuk membekalkan satu gigawatt tenaga elektrik ke Singapura menjelang 2032.

“Kita sedang dalam perbincangan tiga hala antara kerajaan Malaysia, Singapura dan Indonesia untuk membina kabel dasar laut sama ada terus ke Singapura atau melalui perairan Malaysia yang kemudian disambungkan ke Singapura.

“Indonesia juga menunjukkan maklum balas positif, walaupun masih dalam proses akhir,” tambah beliau.

Mengulas lanjut, Abang Johari memberitahu, usaha integrasi tenaga serantau ASEAN sedang giat dijalankan, seiring dengan pertumbuhan ekonomi dan peningkatan permintaan tenaga di rantau ini.

“Negara-negara tertentu mempunyai lebihan tenaga, dan ini boleh dikongsi dalam blok serantau, sama seperti model Eropah. ASEAN kini berbincang mengenai sambungan grid kuasa, dan Sarawak berada dalam kedudukan strategik.

“Sarawak memiliki keluasan hanya 40,000 kilometer persegi (km²) dan penduduk seramai 2.8 juta, sama dengan negara-negara Nordik dari segi potensi perkongsian tenaga,” jelasnya lagi.

Tambah beliau, Sarawak terbuka kepada pelaburan dari mana-mana negara, termasuk Timur Tengah, China dan Amerika Syarikat dalam bidang tenaga boleh diperbaharui seperti hidrogen dan teknologi tenaga baharu. – UKAS

Tags: SEMASA

Continue Reading

Previous: Sarawak cadang penerbangan terus Air Borneo ke Singapura, kukuhkan perdagangan
Next: LCDA tampil inisiatif pembangunan strategik di Sarawak Mega Fair 2025

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.