
KUCHING: Program Kelab Pencinta Alam Sekitar (PALS) di bawah inisiatif Lembaga Sumber Asli dan Alam Sekitar Sarawak (NREB) terus diperkukuh apabila kerajaan Sarawak bersetuju secara prinsip untuk menawarkan insentif kepada sekolah sebagai galakan bagi meningkatkan penyertaan dalam program berkenaan.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, langkah itu merupakan antara usaha berterusan kerajaan negeri dalam memperluaskan lagi jaringan kelab alam sekitar di seluruh Sarawak, sekali gus memperkukuh kesedaran dalam kalangan generasi muda.
Menurut beliau, sasaran untuk melibatkan kira-kira 1,400 sekolah di seluruh negeri perlu dicapai bagi memastikan agenda kelestarian alam sekitar dapat dilaksanakan secara menyeluruh dan berkesan di peringkat akar umbi.
“Mana-mana sekolah yang membuka kelab berkenaan, kita akan menyalurkan sedikit insentif kepada mereka bagi membantu membiayai pelaksanaan aktiviti berkaitan pemuliharaan alam sekitar,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis Anugerah Kecemerlangan dan Perkhidmatan Lembaga Sumber Asli dan Alam Sekitar Sarawak (NREB), di sini, malam tadi.
Walaupun jumlah insentif tidak dinyatakan, beliau menegaskan bahawa usaha memupuk kesedaran alam sekitar sejak usia muda amat penting, dengan mengingatkan bahawa “melentur buluh biarlah dari rebungnya” bagi memastikan nilai cintakan alam dapat dipupuk dari peringkat awal.
Oleh Norman B