PENAMPILAN Sarawak dalam acara bola sepak di temasya Sukan Malaysia (SUKMA) XX Johor 2020 kelak mungkin sedikit tempang.
IA berikutan ketiadaan pakar lontaran jarak jauh ‘Gibson Anak Billy’ yang menarik diri.
Ketua Jurulatih, Ahmad Fairus Mohd. Yunus memberitahu, pihaknya akur dengan keputusan dibuat anak jati kelahiran Rumah Sidi Kampung Lunying, Sebuyau itu untuk tidak bersama rakan-rakan yang lain.
Meskipun, dalam keadaan pasukan musim ini amat memerlukan kudrat pemain tinggi lampai yang beraksi di posisi pertahanan.
“Dia (Gibson Anak Billy) menarik diri dan tidak akan menyertai Sukma XX Johor. Pihak kita menghormati keputusan beliau berbuat demikian,” ujar Ahmad Fairuz ketika mengulas mengenai perkara itu.
Seorang lagi pemain iaitu Mohd. Amahrol Haili (penyerang) juga turut mengambil keputusan yang sama.
“Apa pun, kita mempunyai pemain yang dapat mengambil alih tugas di dua posisi berbeza itu,” tambah beliau.
Sambil menyatakan seramai 28 orang pemain yang berada dalam kendaliannya ketika ini serta sudahpun memulakan tugas untuk latihan harian sebagai persiapan menghadapi kejohanan sukan dwitahunan negara yang dijadual berlangsung di Johor dari 6 hingga 14 Mac 2021.
Oleh Faizal Bujang