Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • PENDIDIKAN
  • Sarawak sudah bersedia: Laksana kemasukan Tahun 1 umur 6 tahun, penilaian Tahun 4
  • PENDIDIKAN

Sarawak sudah bersedia: Laksana kemasukan Tahun 1 umur 6 tahun, penilaian Tahun 4

Utusan Sarawak 4 hours ago
MENTERI Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat (MEITD), Dato Sri Roland Sagah Wee Inn pada sidang media selepas Majlis Penyampaian Sijil Reka Bentuk Litar Bersepadu Digital CENTEXS-SMD bagi Program Penguasaan Semikonduktor di Kota Samarahan, hari ini. Foto Adele Rissa 

KOTA SAMARAHAN: Pelaksanaan dasar Persekutuan bagi kemasukan murid Tahun 1 pada usia enam tahun dan ujian Tahun 4 bermula tahun ini dan 2027 selaras dengan kesiapsiagaan Sarawak, yang telah melaksanakan Program Dwi Bahasa (UP-DLP) bagi membolehkan intervensi awal dilaksanakan.

Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat, Dato Sri Roland Sagah Wee Inn berkata, dasar pendidikan termasuk umur kemasukan ke sekolah berada di bawah bidang kuasa kerajaan Persekutuan dan pelaksanaan pada usia enam tahun bukan sesuatu yang baharu.

Menurut beliau, amalan tersebut telah lama dilaksanakan dan tidak mendatangkan kesan negatif, khususnya dalam konteks semasa apabila kanak-kanak kini sudah terdedah kepada persekitaran pembelajaran awal melalui prasekolah.

“Kanak-kanak hari ini sudah biasa dengan persekitaran sosial dan pembelajaran sejak usia muda. Mereka belajar bersosial, bermain sambil belajar dan mengikuti aktiviti pendidikan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Penyampaian Sijil Reka Bentuk Litar Bersepadu Digital CENTEXS-SMD bagi Program Penguasaan Semikonduktor di sini, hari ini. 

Roland menjelaskan, menjelang usia empat atau lima tahun, kebanyakan kanak-kanak sudah terbiasa dengan suasana pembelajaran dan mampu menyesuaikan diri dengan alam persekolahan formal.

Mengulas akses pendidikan awal di kawasan luar bandar, beliau berkata pelbagai usaha telah dilaksanakan termasuk penyediaan tadika oleh Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) serta inisiatif kerajaan Sarawak melalui agensi berkaitan.

“Walaupun tidak semua keadaan dapat dipenuhi sepenuhnya disebabkan pelbagai faktor, secara keseluruhannya majoriti masyarakat sudah bersedia,” jelasnya. 

Berhubung cadangan penilaian pada Tahun 4, Roland berkata langkah tersebut wajar kerana ia membolehkan kelemahan asas dikenal pasti lebih awal dan intervensi dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan.

“Jika kita hanya menyedari masalah membaca dan menulis di Tahun 6 atau Tingkatan 3, ia sudah terlalu lewat,” katanya sambil menegaskan bahawa penilaian awal bukan bertujuan menghukum murid.

Sebaliknya, penilaian tersebut menjadi petunjuk penting kepada pihak berkaitan untuk merangka program intervensi yang sesuai mengikut keperluan murid.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau mengesahkan bahawa pelaksanaan Program Dwi Bahasa (UP-DLP) akan diteruskan dan tiada perancangan untuk menggantungnya. 

Penilaian bagi program tersebut kekal dilaksanakan di Tahun 6 dan turut digunakan bagi tujuan tertentu termasuk kemasukan ke sekolah antarabangsa.

Katanya, pendekatan itu selari dengan pelaksanaan penilaian di peringkat Tingkatan 3 oleh Kerajaan Persekutuan dan tidak menjejaskan kesinambungan UP-DLP. 

Oleh Adele Rissa 

Tags: PENDIDIKAN

Continue Reading

Previous: PTPTN pastikan inisiatif pendidikan percuma sampai kepada golongan sasar
Next: Rotan dibenarkan jika bertujuan mendidik, bukan hingga mencederakan

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.