
KUCHING: Kerajaan Sarawak menyokong langkah memperketat keperluan maklumat pengirim bagi semua bungkusan yang dihantar ke negeri ini sebagai usaha memperkukuh penguatkuasaan dan mengekang penyeludupan dadah melalui perkhidmatan kurier.
Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, ketepatan dan kesahihan data pengirim amat penting bagi memastikan siasatan dapat dijalankan dengan berkesan serta tidak menjejaskan pendakwaan di mahkamah.
Menurut beliau, antara masalah utama yang dikenal pasti ialah penggunaan alamat palsu, nombor telefon tidak sah dan maklumat pengirim yang tidak lengkap pada bungkusan yang mengandungi dadah.
“Apabila maklumat pengirim tidak tepat, siasatan tidak dapat menjejak pihak yang terlibat. Akhirnya, kes tidak dapat diteruskan walaupun dadah berjaya dirampas,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Penyelarasan Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (PEMADAM) Sarawak yang pertama bagi 2026, di sebuah hotel terkemuka, hari ini.
Abdul Karim menambah, keadaan itu menyebabkan ada kes di mana bahan terlarang terpaksa dimusnahkan selepas tempoh tertentu kerana tiada individu yang dapat dikenal pasti untuk didakwa.
Sehubungan itu, beliau berkata PEMADAM Sarawak menyokong cadangan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) supaya setiap bungkusan dari Semenanjung Malaysia dan Sabah ke Sarawak diwajibkan mengemukakan maklumat pengirim yang lengkap dan sah.
“Maklumat seperti alamat sebenar, nombor telefon dan pengenalan diri perlu direkodkan bagi memastikan setiap penghantaran boleh dijejaki dan tidak mencacatkan perjalanan kes,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata penyelarasan antara agensi penguat kuasa selepas rampasan dibuat turut perlu diperhalusi bagi mengelakkan kelemahan dalam pengendalian kes.
Beliau menjelaskan bahawa selain Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), beberapa agensi lain turut mempunyai kuasa membuat tangkapan, namun proses susulan perlu lebih tersusun.
Menyentuh aspek pengesanan, beliau berkata penggunaan anjing pengesan masih relevan tetapi berdepan kekangan kos latihan yang tinggi serta keperluan jurulatih tetap sepanjang hayat anjing.
“Kerajaan Sarawak bersedia untuk terus membantu mengikut kemampuan, termasuk menyokong keperluan PDRM, unit K9 dan JKDM,” katanya.
Abdul Karim turut memaklumkan bahawa Sarawak antara negeri yang mencatatkan indeks dadah yang rendah, namun menegaskan usaha pencegahan dan pendidikan masyarakat perlu diteruskan.
Oleh Adele Rissa