- Bantu lahirkan ribuan pelatih, graduan berkemahiran di Sarawak
PENGAMBILAN pelatih baharu setiap tahun lebih 2,000 orang menjadi bukti peranan yang cukup besar dimainkan oleh Sarawak Skills dalam melahirkan tenaga kerja berkemahiran di negeri ini.
Selain itu, lebih 90 peratus pelatih dan graduan yang dihasilkan mendapat pekerjaan sebaik sahaja menamatkan pengajian atau latihan, satu lagi bukti betapa pentingnya pusat kemahiran ini dalam melahirkan modal insan berkemahiran untuk mencapai hasrat Sarawak menjadi negeri maju dengan penduduknya berpendapatan tinggi menjelang 2030.
Bagaimanapun menurut, Pengarah Eksekutif Sarawak Skills yang juga Pengerusi Persekutuan Pusat Pembangunan Kemahiran Malaysia (FMSDC), Hallman Sabri, ia tidak mencukupi, untuk mencapai hasrat kerajaan melahirkan lebih ramai tenaga kerja berkemahiran memerlukan kerjasama semua pihak termasuk pemain industri dan syarikat-syarikat besar.
Sehubungan itu, tegasnya, amat penting untuk Sarawak Skills menjalin kerjasama rapat dengan pemain industri atau syarikat-syarikat besar di seluruh negeri ini.
Sehingga kini, Sarawak Skills yang dahulunya dikenali Pusat Pembangunan Kemahiran Sarawak (PPKS) mempunyai 80 ‘rakan’ yang terdiri daripada pelbagai industri seperti minyak dan gas, perkhidmatan, pertanian, sektor pembalakan, industri kecil dan sederhana dan banyak lagi yang lain.
“Sebagai sebuah pusat kemahiran yang telah ditubuhkan sejak 1994. Dasar dan hala tuju kita sememangnya sudah jelas dan ia selari dengan apa yang kerajaan di peringkat persekutuan dan negeri mahukan.
“Ahli (syarikat) inilah yang menjamin peluang pekerjaan cerah kepada pelatih kita … setakat ini lebih 90 peratus pelatih Sarawak Skills mendapat pekerjaan setelah menamatkan pengajian atau latihan.
“Malah ramai pelatih di sini (Sarawak Skills) sudah dapat pekerjaan di syarikat-syarikat tertentu sebelum menamatkan latihan,” katanya ketika ditemui di Sarawak Skills, Tabuan Jaya di Kuching.
Rancangan, Latihan Ditawarkan
Sarawak Skills setakat ini membuka sebanyak sembilan cawangan atau pusat pendidikan di seluruh negeri ini dan bagi memperhebat usaha melahirkan lebih ramai tenaga mahir, Hallman berkata, pihaknya juga merancang membangunkan Advanced Automative Traning College (AATC) di Demak Laut, Kuching.
“Bersama rakan industri Sibu Automobile Repaires Assocation, kita juga merancang membangunkan Pusat Latihan Automotif di Sibu.
“Banyak yang kita lakukan seperti Sarawak Skills di Miri akan menambah kapasitinya apabila siap pengubahsuaian blok bangunan yang merupakan bekas pejabat Shell di Miri.
“Kita juga kini mempunyai kampus satelit di Bintulu yang merupakan hasil kerjasama bersama dengan Adtec Bintulu bagi menawarkan kursus-kursus jangka pendek bagi masyarakat di Bintulu.
“Semua ini, dalam usaha Sarawak Skills memenuhi tuntutan tenaga mahir lebih-lebih lagi dalam industri minyak dan gas sekali gus dalam meningkatkan taraf hidup dan sosioekonomi,” jelasnya.
Ditanya, apakah Sarawak Skills merancang menubuhkan lebih banyak cawangan terutama di luar bandar. Haliman menegaskan, pihaknya sentiasa berusaha kearah itu, bagaimanapun banyak yang perlu dipertimbangkan.
“Terbaru Sarawak Skills Sri Aman sudah membuat pengambilan pelatih pertamanya pada 15 Mac tahun ini. Di Sri Aman, ditawarkan kursus jangka pendek dan turut ditawarkan ialah program meningkatkan kemahiran daripada Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPIC) bertaraf Diploma. Bagi yang menyertai program ini boleh mendapat bantuan daripada HRD founds,” jelasnya.
Sebagai peneraju dalam pendidikan teknikal dan latihan industri, Sarawak Skills ketika ini menawarkan program Penyaman Udara, Elektrik, Mekatronik, Sistem Komputer, Pentadbiran Pejabat, Pereka Grafik, Peladangan, Automotif dan Kimpalan.
“Kita ada juga menawarkan program terbaharu dalam EV dan hidrogen dan baru-baru ini sebanyak 20 kakitangan di bawah naungan Sarawak Skills dihantar ke China bagi mempelajari kemahiran dalam pengendalian “Electric Vehicle” dan ”Hydrogen” secara komersial.
“Sudah semestinya program sebegini adalah salah satu inisiatif Sarawak Skills bagi menyahut objektif negeri Sarawak dalam melestarikan PCDS 2030. Bagaimanapun kalau menyebut tentang yang menjadi pilihan belia, ramai memilih pentadbiran pejabat, peladangan, elektrik dan banyak lagi,” ujarnya.
Selain program kemahiran bagi lepasan sekolah, Sarawak Skills juga menawarkan program-program jangka pendek seperti latihan korporat, latihan teknikal, sijil tambah nilai bagi lepasan universiti, program penilaian pencapaian terdahulu (PPT) dan banyak lagi.
Pencapaian, Harapan
Setelah sekitar 30 tahun dalam menyumbang bakti, Sarawak Skills telah menerima pelbagai pengiktirafan dan anugerah.
Terbaharu, Automotive and Welding Institute of Sarawak (AWISAR) menerima penilaian 5 bintang daripada Jabatan Pembangunan Kemahiran Malaysia (Department of Skills Development Malaysia).
Dan tahun lalu, Sarawak Skills menerima Certificate of Excellence for Training Provider Category, Anugerah Kecemerlangan Industri Premier Sarawak (PSIEA) 2023: Silver Award to PPKS Ilmu Sdn Bhd, Malaysia Education & TVET Awards 2023: Sarawak Skills Development Centre Malaysia’s Best in Skills Training (Organization Brand Excellence), Hallman Sabri Outstanding TVET Personality Award (Leadership) dan Automotive and Welding Institute of Sarawak Best TVET Training Provider (Automotive & Welding).
Selain itu, Sarawak Skills juga memenangi Champions MEITD’s Mini Innovative and Creative Circla (ICC) Competition 2023, Brandlaureate SMES Bestbrands Award 2023 in the Category of “Best Choice – Education: Technical Skills Excellence”.
Ditanya tentang, harapan dalam melahirkan lebih ramai tenaga kerja berkemahiran di negeri ini, Hallman menegaskan, generasi muda dan masyarakat amnya tidak boleh lagi beranggapan bahawa bidang kemahiran adalah untuk mereka yang kurang berjaya dalam pendidikan atau pilihan kedua setelah gagal melanjutkan pelajaran ke institusi pengajian tinggi (IPT).
“Ruyung mesti dipecahkan’… pandangan itu atau mereka yang melanjutkan pelajaran dalam TVET (Program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional) adalah mereka yang kurang berjaya dalam pendidikan atau pilihan kedua … haruslah dihentikan.
“Bayangkan pekerja di Jerman dan Australia, pekerja berkemahiran adalah antara mereka yang bergaji tinggi. Bayangkan alumni Sarawak Skills ada yang menikmati gaji sehingga lebih RM6,000 sebulan dalam industri minyak dan gas. Tetapi kini kita di Sarawak dan Malaysia amnya sudah mula berubah.
“Sekarang ramai anak Sarawak yang mempunyai kemahiran bekerja di Singapura dan Johor menerima gaji tinggi. Kita harap perkembangan positif ini berterusan dan lebih ramai anak Sarawak berminat melanjutkan latihan dan pendidikan dalam bidang kemahiran,” katanya.