
KUCHING: Kejayaan Pusat Pembangunan Kemahiran Sarawak (Sarawak Skills) sebagai peneraju Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) negara terus mendapat perhatian apabila menerima kunjungan rasmi delegasi daripada Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Kelantan dan Perlis, baru-baru ini.
Delegasi tersebut diketuai Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Kelantan, Zamakhshari Muhamad dan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Perlis, Muhammad Azmir Azizan.
Mereka tertarik dengan rangka kerja operasi Sarawak Skills yang strategik dan lestari, khususnya dalam pelaksanaan konsep kolaborasi tiga pihak melibatkan industri, kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri.
Kunjungan ini turut memberi pendedahan menyeluruh kepada model tadbir urus dan perniagaan Sarawak Skills yang terbukti berkesan dalam membangunkan modal insan berkemahiran tinggi serta selaras dengan keperluan industri.
Kedua-dua wakil Exco menyatakan kekaguman terhadap pendekatan inovatif Sarawak Skills dalam pembangunan kemahiran dan menyatakan hasrat untuk menjadikan model ini sebagai rujukan dalam penubuhan pusat latihan kemahiran di negeri masing-masing.
Mereka turut mengakui bahawa peniruan model menyeluruh ini mampu menjadi pemangkin dalam menyediakan latihan TVET berkualiti tinggi yang relevan dengan keperluan industri tempatan dan global.
Pengarah Eksekutif Sarawak Skills merangkap Pengerusi Persekutuan Pusat Pembangunan Kemahiran Malaysia (FMSDC), Hallman Sabri menyambut baik lawatan tersebut dan berkongsi pelbagai pencapaian serta strategi operasi institusi itu.
“Di bawah naungan FMSDC, Sarawak Skills bersama pusat kemahiran negeri lain di seluruh negara telah banyak meraih manfaat daripada sokongan kerajaan serta kerjasama strategik.
“Pendekatan kolaboratif ini amat penting dalam memperkasa kualiti dan daya saing TVET di Malaysia,” katanya.
Beliau turut menekankan potensi Kelantan dan Perlis untuk menubuhkan pusat kemahiran masing-masing dan menyertai rangkaian FMSDC secara rasmi.
“Dengan penyertaan Kelantan dan Perlis, semua negeri di Malaysia akan diwakili dalam FMSDC. Ini akan memperkukuh misi bersama kita untuk membangunkan tenaga kerja berkemahiran tinggi.
“Penyertaan ini juga merupakan persedian bagi menghadapi masa depan melalui standard yang konsisten dan inisiatif kolaboratif,” jelasnya.
Kunjungan ini mencerminkan pengiktirafan yang semakin meluas terhadap Sarawak Skills sebagai model TVET unggul peringkat kebangsaan, yang komited dalam melahirkan graduan yang kompeten dan sejajar dengan keperluan semasa industri.