

DATO Sri Roland Sagah Wee Inn menyampaikan skrol kepada graduan Sarawak Skills sebagai pengiktirafan terhadap pencapaian mereka dalam bidang kemahiran semasa Majlis Konvokesyen ke-27, hari ini. Foto UKAS
KUCHING: Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg menegaskan kepentingan Sarawak Skills untuk terus memperkukuh bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) bagi memastikan keperluan tenaga kerja berkemahiran tinggi di negeri ini dapat dipenuhi selaras dengan keperluan industri semasa.
Beliau berkata, pelaksanaan TVET yang berkesan menjadi tunjang kepada pembangunan ekonomi Sarawak, khususnya dalam sektor perindustrian, tenaga dan teknologi baharu.
“Tumpuan kepada pembangunan tenaga kerja tempatan yang berkemahiran tinggi penting bagi memastikan Sarawak dapat mencapai sasaran negeri maju menjelang 2030,” katanya menerusi teks ucapan yang dibacakan oleh Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Dato Sri Roland Sagah Wee Inn semasa Majlis Konvokesyen Sarawak Skills ke-27 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK), hari ini.
Sementara itu, Pengerusi Sarawak Skills Tan Sri Datuk Amar Abdul Aziz Husain berkata, kadar kebolehpasaran graduan institusi itu kekal tinggi dengan 93 peratus memperoleh pekerjaan dalam tempoh enam bulan selepas tamat pengajian.
Menurutnya, daripada jumlah tersebut, kira-kira 75 peratus graduan bekerja dalam bidang berkaitan dengan kursus yang diikuti, sekali gus menunjukkan kesesuaian program latihan yang ditawarkan dengan keperluan pasaran kerja.
“Kerjasama berterusan dengan pihak industri serta sokongan kerajaan negeri dan persekutuan membantu Sarawak Skills menyesuaikan kandungan latihan mengikut permintaan sektor pekerjaan semasa,” katanya.
Beliau memaklumkan, sejak penubuhannya, Sarawak Skills telah melahirkan lebih 80,000 alumni dan kini mempunyai sembilan cawangan di seluruh negeri selain menawarkan 13 bidang kemahiran yang relevan kepada pelajar lepasan sekolah.
Abdul Aziz menambah, institusi itu akan terus memperkukuh peranannya dalam pelaksanaan TVET bagi menyokong agenda pembangunan negeri serta memenuhi permintaan terhadap tenaga kerja berkemahiran tinggi.
Oleh Amanda L.