
SINGAPURA: Hubungan dua hala antara Sarawak dan Singapura telah lama terjalin, terutamanya dalam bidang pendidikan, inovasi dan pembangunan bakat.
Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat, Datuk Dr Annuar Rapaee berkata, Sarawak banyak mempelajari kepakaran Singapura terutamanya dalam sektor pendidikan yang menjadi antara model rujukan utama negeri itu.
“Sebenarnya kita banyak belajar daripada Singapura. Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg sebelum ini pun kerap melakukan kunjungan rasmi ke republik ini, dan pegawai-pegawai kerajaan turut mengadakan lawatan kerja bagi mempelajari sistem di sini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas mengiringi Yang di-Pertua Negeri, Tun Pehin Sri Wan Junaidi Tuanku Jaafar dalam kunjungan hormat Presiden Singapura, Tharman Shanmugaratnam di Istana Singapura, hari ini.
Annuar turut menyentuh kerjasama rapat antara Kementerian Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak (MEITD) dan Singapura dalam penubuhan pusat sains baharu di Kuching.
Dalam pada itu, beliau turut memberitahu sebelum ini MEITD telah melantik pakar dari Singapura sebagai konsultan utama bagi memastikan pembangunan pusat tersebut memenuhi standard antarabangsa.
Kerjasama itu merangkumi aspek reka bentuk kurikulum Pendidikan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM), penyediaan bahan pembelajaran interaktif serta latihan untuk tenaga pengajar.
“MEITD memang banyak bekerjasama dengan Singapura dalam matematik dan bahasa Inggeris.
“Malah, untuk pusat sains di Kuching, kita melantik Singapura sebagai konsultan kerana mereka mempunyai pengalaman luas dalam pendidikan STEM,” jelasnya.
-UKAS