
KUCHING: Sarawak terus memperteguh kerjasama strategik dengan Singapura, yang bukan sahaja dilihat sebagai rakan dagang penting tetapi juga sebagai pintu masuk utama ke pasaran antarabangsa.
Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Operasi), Datu Hii Chang Kee menegaskan, kekuatan Sarawak dari segi sumber asli, tanah luas dan pembangunan bakat akan saling melengkapi kelebihan Singapura sebagai hab perdagangan, inovasi, kewangan dan rangkaian global.
“Berbekalkan kepakaran yang dimiliki Singapura dalam bidang kewangan, teknologi, logistik dan inovasi, Sarawak yakin kerjasama ini mampu melahirkan pembangunan yang memberi impak besar dari segi kemajuan dan kelestarian. Justeru, Singapura merupakan rakan strategik yang amat signifikan kepada Sarawak,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Sesi Padanan Perniagaan bersama Pejabat Perdagangan dan Pelancongan Sarawak di Singapura (STATOS) di Hotel Waterfront Kuching, hari ini.

Menurutnya, Sarawak kini memberi tumpuan kepada pembangunan ekonomi hijau dengan pelaburan besar di Samalaju, Bintulu, khususnya dalam tenaga hidrogen, metanol dan ammonia hijau. Malah, perbincangan turut dijalankan bagi membolehkan Sarawak membekalkan tenaga kepada negara jiran seperti Brunei, Kalimantan serta Singapura dalam usaha mencapai aspirasi menjadi ‘bateri ASEAN’.
“Ketika ini hampir 70 peratus tenaga elektrik Sarawak adalah daripada sumber hijau, dan ia memberikan kelebihan kerana pasaran dunia lebih mengutamakan negara yang memiliki campuran tenaga boleh diperbaharui yang tinggi.
“Sarawak melihat peluang besar untuk menjadi pembekal tenaga bersih kepada negara serantau dalam tempoh terdekat,” jelasnya.
Dalam pada itu, STATOS dengan kerjasama Singapore Malay Chamber of Commerce and Industry (SMCCI) turut menganjurkan Misi Perniagaan berprofil tinggi ke Kuching dari 21 hingga 23 September.
Program ini menghimpunkan 15 syarikat dari Singapura melibatkan 22 peserta merangkumi pelbagai sektor termasuk makanan dan minuman halal, logistik, pendidikan, kesihatan, pembinaan, teknologi digital dan industri kreatif.
Oleh Amanda L