KUCHING: Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg menegaskan bahawa walaupun negeri ini memiliki simpanan unsur nadir bumi (REE) yang signifikan, kerajaan Sarawak akan terus mengutamakan penjagaan alam sekitar berbanding meneroka industri tersebut.
“REE kita ada, tetapi yang besar sekali adalah di utara Malaysia seperti Kedah, Terengganu, dan Perlis. Kita ada pilihan industri lain yang lebih bersih dan baik. Kenapa harus ke industri yang boleh menjejaskan alam sekitar jika kita ada pilihan lain?” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas majlis pecah tanah Che Hia Khor Moral Uplifting Society Sarawak di sini, hari ini.
Abang Johari berkata, industri perlombongan memerlukan kajian teliti kerana berpotensi memberi kesan negatif kepada alam sekitar.
Oleh itu, kerajaan Sarawak memilih untuk “menyimpan dahulu” sumber tersebut buat masa ini, kecuali keadaan mendesak pada masa hadapan.
“Kita tidak terdesak kerana kita mempunyai sumber pendapatan lain,” tambahnya.
Pada Jun lepas, Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan mendedahkan bahawa Sarawak dikenal pasti memiliki pelbagai bahan mineral berharga yang dianggarkan bernilai RM1.25 trilion.
Katanya, anggaran nilai bahan mineral yang tinggi itu membolehkan Sarawak berpotensi membuat pelaburan dalam industri perlombongan, sekali gus memberi pulangan berlipat ganda kepada ekonomi.
Oleh SHAHRUL QAIZAT