KUCHING: Sarawak berjaya menyiapkan fasiliti hanya dalam tempoh lima bulan sebagai persiapan kejohanan
Piala Dunia Kriket T20 Wanita, Majlis Kriket Antarabangsa (ICC) bawah 19 tahun.
Kejohanan itu bakal berlangsung dari 18 hingga 28 Januari 2025 di Padang Kriket Borneo Petra Jaya, sekali gus sejarah bagi Sarawak kerana menjadi tuan rumah buat julung kalinya.
Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, fasiliti yang diperlukan untuk kejohanan ini telah disiapkan dengan sokongan padu kerajaan Sarawak dan kabinet negeri.
“Kita hanya menerima surat pengesahan sebagai tuan rumah pada Ogos tahun lalu selepas SUKMA.
“Dalam tempoh lima bulan, pelbagai infrastruktur seperti bilik persalinan, bilik penerbitan, bilik persidangan, dan padang telah dibina dan disiapkan.
“Saya amat berterima kasih kepada pasukan yang komited memastikan semuanya siap mengikut jadual,” katanya pada sidang media mengenai kejohanan itu di GoDown Amphitheater, Tebingan Kuching, di sini, hari ini.
Menurut Abdul Karim, sebanyak 10 perlawanan dari 42 perlawanan keseluruhan akan berlangsung di Kuching.
Katanya, pada peringkat awal, empat pasukan iaitu New Zealand, Afrika Selatan, Samoa, dan Nigeria akan bertanding di sini.
“Pasukan yang layak akan mara ke peringkat ‘Super Six’, di mana Kuching turut menjadi lokasi perlawanan penting itu. Final kejohanan ini dijadualkan berlangsung di Kuala Lumpur,”katanya.
Beliau berkata kriket masih dalam fasa pembangunan di Sarawak, dengan usaha sedang digiatkan untuk memperkenalkannya kepada pelajar melalui kerjasama dengan Jabatan Pendidikan.
“Kita mahu menjadikan kriket sebagai sukan utama di negeri ini, bermula dari peringkat akar umbi. Sarawak kini juga berbangga dengan kehadiran pemain seperti Dania, kapten pasukan wanita Malaysia yang berasal dari Sarawak,” katanya.
Nur Dania Syuhada Abedul Samad, 19, menurut Abdul Karim adalah pemain kriket pertama dari Sarawak yang dilantik sebagai kapten pasukan kriket kebangsaan.
Selain itu, beliau turut menyatakan hasrat Sarawak untuk menjadikan Sarawak Borneo Cricket Ground sebagai pusat kecemerlangan kriket di Borneo.
Lokasi ini, jelasnya, dijangka menjadi tuan rumah kepada lebih banyak kejohanan bertaraf negeri, serantau, dan antarabangsa pada masa hadapan.
Ketika ditemui pemberita, Dania menyatakan bahawa skuad kebangsaan sudah bersedia sepenuhnya untuk menghadapi kejonanan dunia tersebut.
Katanya, perlawanan pertama skuad kriket bawah 19 tahun kebangsaan itu bakal bertembung dengan salah satu gergasi kriket iaitu India di Kuala Lumpur.
“Untuk jangkaan terhadap perlawanan itu nanti, saya tidak mahu berikan apa-apa jangkaan, namun kami sudah pasti akan melakukan yang terbaik,” katanya.
Oleh SHAHRUL QAIZAT