PETRA JAYA: Sarawak kini berada dalam keadaan bersiap sedia sepenuhnya untuk menghadapi kemungkinan cabaran musim Monsun Timur Laut (MTL), dengan fokus utama adalah keselamatan rakyat dan kelancaran operasi menyelamat.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas, berkata sebanyak 7,507 anggota dari pelbagai agensi telah dipersiapkan untuk digerakkan.
Katanya, langkah ini melibatkan gabungan Polis Diraja Malaysia (PDRM) Sarawak (1,406 anggota), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak (1,462 anggota), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Sarawak (2,759 anggota), dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Sarawak (1,880 anggota).
“Kami telah mengarahkan semua agensi untuk berada dalam keadaan bersedia menghadapi sebarang kemungkinan. Aset dan peralatan juga telah diperkemaskan untuk memastikan operasi dapat dijalankan dengan lancar,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS), di Wisma Bapa Malaysia, di sini, hari ini .
Uggah yang juga Pengerusi JPBNS memaklumkan bahawa sebanyak 760 aset air dan darat telah disediakan bagi menghadapi situasi banjir.
Jelasnya, antara aset yang tersedia termasuk 214 bot, tiga luncur jet, 260 kenderaan pacuan empat roda, 78 lori, 32 ambulans, 152 motosikal, dua bas, empat helikopter, dan 15 unit dron.
Selain itu, Sarawak juga memiliki 31 pangkalan hadapan bencana, satu depo simpanan bencana di Kota Samarahan, serta dua depo mini simpanan bencana yang berfungsi untuk memastikan bantuan makanan dapat diagihkan dengan pantas.
“Pangkalan hadapan bencana ini sangat penting untuk menyimpan bekalan makanan dan diedarkan segera sekiranya berlaku kejadian banjir,” tambah beliau.
Dalam pada itu, Uggah juga menyatakan bahawa JPBNS turut memanfaatkan teknologi moden seperti penggunaan dron untuk mendapatkan imej terkini kawasan banjir, selain bekerjasama dengan Radio Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO) bagi menyediakan akses komunikasi di kawasan pedalaman yang terjejas.
“MHO memainkan peranan penting dalam menyediakan komunikasi radio di kawasan luar bandar yang sukar diakses ketika banjir. Ini bagi memastikan penyelarasan bantuan dapat dijalankan dengan lebih baik,” katanya.
Turut hadir, Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti, Dato Sri Fatimah Abdullah; Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah, Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom, serta Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Pentadbiran), Datu Buckland Bangik.
Oleh SHAHRUL QAIZAT