ENGKILILI: Sarawak bersetuju melaksanakan Akta Antilompat Parti dan Rang Undang-Undang (RUU) mengenainya akan dibentangkan pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) yang bermula 21 November ini.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata RUU akan dapat menghapuskan budaya melompat parti atau ‘katak’ dalam kalangan wakil rakyat di Sarawak jika ia sudah diluluskan.
“Sebelum ini pun (keadaan) politik kita (di Sarawak) baik… cuma ada seorang dua sahaja yang suka ‘melompat-lompat’. Pada keseluruhannya politik kita tidaklah banyak ‘lompat-lompatan’.
“Tapi kalau ini (Akta Antilompat Parti) kita laksanakan, maka ia (tindakan melompat parti) akan menjadi lebih ketat lagi…jadi budaya lompat tidak akan ada lagi dalam politik kita untuk kepentingan rakyat,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Program Sarawakku Sayang di Dewan Serbaguna Engkilili, di sini hari ini.
Abang Johari yang juga Pengerusi Gabungan Parti Sarawak (GPS) berkata Sarawak sebelum ini mengkaji dan menamnaj baik peruntukan Artikel 17 Perlembagaan Negeri bagi memastikan ia selari dengan pelaksanaan Akta Antilompat Parti yang diluluskan di Dewan Rakyat.
Katanya, antara hasil kajian itu adalah pelaksanaan semula pilihan raya di sesuatu kawasan jika wakil rakyatnya melompat parti atau melaksana beberapa pendekatan terhadap mereka yang berbuat demikian.
“Ini akan diperinci melalui pembentangan akta berkenaan pada sidang DUN nanti.” katanya.
Sementara itu, beliau turut menyangkal dakwaan kononnya mengundi GPS pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) nanti adalah sama seperti mengundi Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO).
“Undi untuk GPS adalah untuk GPS. Biarlah dia kata… kita pun bukannya UMNO. Lagi pun muka saya bukanlah macam (Datuk Seri) Zahid (Hamidi).
“UMNO pun bukan ada di sini (Sarawak) begitu juga dengan Barisan Nasional (BN),” katanya.
Hadir sama ialah Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki serta Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Pelaburan, Datuk Dr Malcom Mussen Lamoh.
Juga hadir Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat, Datuk Francis Harde Hollis, Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Datuk Snowdan Lawan, Timbalan Menteri Pembangunan Belia dan Sukan seera Pembangunan Usahawan, Dato Gerald Rentap Jabu dan calon GPS Parlimen Lubok Antu, Roy Angau Gingkoi.
Oleh VALENTINE NGUMBANG