
SINGAPURA: Kerajaan Sarawak menzahirkan komitmen teguh untuk memperkukuh kerjasama strategik bersama Singapura dalam bidang tenaga boleh diperbaharui dan pembangunan ekonomi hijau yang mampan.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, pelaburan Singapura ke Sarawak akan disokong oleh kestabilan politik, keselamatan ekonomi serta sumber tenaga bersih yang berpotensi besar untuk dikongsi.
“Pelabur mahukan jaminan kestabilan. Sarawak stabil, kerajaan stabil, saya sendiri selamat dan saya yakin, akan terus kekal begitu,” katanya ketika berucap menyempurnakan Karnival Mega Sarawak 2025 hari ini.

Dalam pada itu, beliau turut mendedahkan bahawa Sarawak telah bersetuju secara prinsip untuk membekalkan 1,000 megawatt (MW) tenaga hijau kepada Singapura sekali gus menandakan era baharu dalam kerjasama tenaga rentas sempadan.
“Kami sedang bekerjasama dengan kerajaan Singapura. Kabel akan dibangunkan antara Sarawak dan Semenanjung, seterusnya disambungkan ke Singapura. Ini langkah besar,” ujarnya.
Jelasnya, Sarawak kini menjana tenaga melalui gabungan empat empangan hidro utama iaitu Bakun, Murum, Baleh dan Batang Ai, di samping memanfaatkan sumber tenaga lain seperti solar terapung, gas berkarbon rendah dan biojisim.
Katanya lagi, menjelang 2030, Sarawak menyasarkan penghasilan sebanyak 10 gigawatt tenaga boleh diperbaharui dan angka ini dijangka meningkat kepada 15 gigawatt pada 2035.
Selain itu, turut dikongsikan berkenaan dengan perkembangan dalam penyelidikan teknologi hidrogen hijau yang disifatkan sebagai sumber tenaga masa hadapan.
Beliau yakin bahawa kos penghasilan hidrogen melalui proses elektrolisis akan menurun dengan ketara antara 2030 hingga 2035, sekali gus membuka peluang besar untuk Sarawak muncul sebagai pembekal utama hidrogen hijau kepada pasaran serantau, termasuk Singapura.
Mengulas mengenai penganjuran Karnival Mega Sarawak 2025 pula, Premier Sarawak menyifatkannya sebagai lambang hubungan mesra dan kepercayaan dua hala antara Sarawak dan Singapura.
Acara itu, katanya bukan sahaja membuka ruang kepada kerjasama perdagangan dan pelaburan, malah memperkukuh jaringan strategik dalam bidang teknologi, tenaga hijau dan pembangunan mampan.
“Kehadiran kami di sini bukan sekadar untuk berniaga. Kami hadir dengan hati yang terbuka bagi menjalin kerjasama dan membina masa depan yang mampan bersama Singapura serta seluruh rantau ini,” tambah beliau.
Dalam majlis sama, Premier Sarawak juga berpeluang menyaksikan pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) antara Health Management International Pte Ltd (HMI) dengan Ibraco Berhad, Kementerian Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan (MINTRED) Sarawak dengan HALTEX Group (Global Halal Alliance) dan Page8.
Selain itu, MoU antara Mustafa’s Pte Ltd dan HALTEXPRIUS Pte Ltd (Member Of Global Halal Aliance), Borneo Eco Fish Sdn Bhd dan Sheng Siong Supermarket Pte Ltd., Pusat Pembangunan Kemahiran Sarawak dan Temasak Polytechnic, SDEC Karuna JV Sdn Bhd (SKJV) dan WiredBoxGroup (WBG) serta Zecon Bhd, Neuto Pte Ltd dan Edra Power Holding Sdn Bhd.
Turut hadir Timbalan-Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan dan Datuk Amar Dr Sim Kui Hian serta dif-dif kenamaan lain.
-UKAS