KUCHING: Skim Bantuan Deposit Perumahan kepada golongan B40 dan M40 khususnya bagi membantu golongan muda untuk memiliki rumah sendiri akan mula dilaksanakan Januari ini.
Ketua Menteri, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg (gambar) berkata, Kerajaan Sarawak akan membantu pembeli dalam dua kategori tersebut untuk membayar deposit perumahan sehingga maksima berjumlah RM10,000.
“Ini khas untuk mereka kerana saya nampak orang muda berusia dalam lingkungan 26 hingga 30 tahun selepas berkahwin, simpanan mereka belum cukup untuk membeli rumah kediaman,” kata Pengerusi Gabungan Parti Sarawak (GPS) itu.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Mesyuarat Majlis Tertinggi Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) di sini, malam Ahad.
Abang Johari yang juga Presiden PBB menambah, skim tersebut akan memberikan kemudahan kepada golongan muda memiliki rumah sendiri apabila dapat membayar lebih awal di samping murah kerana tempoh pembayaran mengambil masa lama.
“Sebaliknya, jika seseorang membeli rumah dalam lingkungan usia antara 40 hingga 45 tahun, tempoh pembayaran menjadi singkat maka mereka terpaksa membayar lebih.
“Justeru, Kerajaan Sarawak akan menyediakan peruntukan untuk skim tersebut,” jelasnya.
Dalam pada itu, Kerajaan Sarawak akan merujuk kepada negara pakar berhubung penubuhan Dana Kekayaan Berdaulat dalam mengurus kewangan negeri ke arah yang lebih mantap.
Mengulas lanjut, Abang Johari berkata, penubuhan dana melalui cadangan baharu dalam manifesto Pilihan Raya Negeri Ke-12 (PRN12) penting bagi mengukuhkan kewangan negeri demi masa depan Sarawak.
“Kerajaan akan merujuk kepada dana yang telah berjaya di negara lain seperti Norway selain negara jiran iaitu Singapura yang mempunyai strategi pengurusan kedudukan kewangan mereka sendiri.
“Justeru, dana berkenaan akan dilaksanakan setelah kita melantik pakar yang boleh memberi nasihat untuk penubuhannya kelak,” katanya.
Turut hadir, Timbalan Presiden Parti PBB, Datuk Amar Douglas Uggah Embas, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, Pengerusi Tetap PBB, Tan Sri Datuk Amar Awang Asfia Awang Nassar, Naib Yang Dipertua Kanan PBB, Dato Sri Fadillah Yusof dan Setiausaha Agung PBB Dato Sri Alexander Nanta Linggi.
Oleh SYAMIMI HUSNA