
KUCHING: Sarawak bersedia menyalurkan bantuan tenaga kerja serta kepakaran pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) ke Sabah sekiranya berlaku bencana akibat Monsun Timur Laut (MTL) menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) yang akan datang.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Dato Sri Nancy Shukri, berkata langkah itu merupakan antara bentuk kerjasama rentas negeri bagi memastikan kebajikan rakyat terus terpelihara walaupun berdepan situasi luar jangka.
“Sekiranya diperlukan, pegawai JKM dari Sarawak akan digerakkan untuk membantu di lokasi terjejas. Inilah cara kita, saling membantu apabila keadaan memerlukan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyempurnakan Seminar Warisan Santubong: Eksplorasi Ilmu da Jejak Tamadun di Pusat Kecemerlangan Teknologi Sarawak (CENTEXS) Santubong, hari ini.
Menurut Nancy, selain pegawai kerajaan, badan bukan kerajaan (NGO) dan sukarelawan di Sabah turut bersiap siaga bagi melaksanakan operasi bantuan sekiranya keadaan memerlukan.
“Kita sudah ada pengalaman menghadapi situasi sama sebelum ini.
Jadi, persiapan kali ini lebih tersusun dengan strategi kolaboratif yang lebih pantas dan efektif,” ujarnya.
Beliau turut memaklumkan bahawa setakat ini tiada laporan terbaharu mengenai keadaan MTL di Sabah, namun semua agensi berkaitan sudah diarahkan bersiap siaga di lokasi berisiko tinggi berdasarkan ramalan cuaca semasa.
“Semua persiapan sudah dilakukan sebagai langkah awal untuk menghadapi sebarang kemungkinan,” ujarnya.
Oleh Shahrul Qaizat