PETRA JAYA, 21 Oktober: Kerajaan Sarawak memperuntukkan RM18 juta di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) bagi menjalankan kajian potensi sumber unsur nadir bumi (REE) di negeri ini, meliputi kawasan seluas kira-kira 3,134 kilometer persegi.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, berkata peruntukan itu merupakan langkah awal kerajaan negeri untuk membangunkan industri REE secara bersepadu, daripada peringkat huluan hingga hiliran.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan penggulungan Kementerian Sumber Asli dan Pembangunan Bandar pada persidangan hari kelapan Mesyuarat Kedua bagi Penggal Kelima Dewan Undangan Negeri (DUN) Ke-19 di Kompleks DUN, hari ini.

Awang Tengah berkata, kerajaan Sarawak turut meminta kerajaan Persekutuan menyalurkan peruntukan lebih besar kepada Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia, Cawangan Sarawak, bagi membolehkan kajian keberadaan sumber mineral itu diperluas ke seluruh negeri.
Mengulas lanjut, katanya, kerajaan Sarawak telah menyediakan kerangka hala tuju pembangunan industri REE secara menyeluruh, merangkumi peringkat huluan hingga hiliran, ke arah industri “super magnet” selain menyasarkan penggunaan bahan berkenaan dalam pembangunan industri semikonduktor, aeroangkasa dan satelit.
“Selain untuk kegunaan pembuatan kenderaan elektrik, teknologi pertahanan, perubatan dan lain-lain”,katanya.
Beliau berkata, REE turut berpotensi digunakan dalam pembuatan kenderaan elektrik, teknologi pertahanan dan bidang perubatan.
Oleh Shikin Mahmud




