
TOKYO: Sarawak giat berusaha menghasilkan tenaga boleh diperbaharui bukan sahaja untuk penggunaan domestik, malah untuk menyokong keperluan tenaga hijau di seluruh rantau ASEAN.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata negeri ini telah dikenal pasti sebagai sebahagian daripada Inisiatif Hijau ASEAN, yang membolehkan Sarawak membekalkan tenaga hijau kepada negara jiran.
Menurut beliau, Sarawak kini menjana 70 peratus tenaga hidro dan 30 peratus tenaga gas rendah karbon.
“Dengan gabungan ini, kami berharap dapat berkongsi ‘elektron’ kami dengan negara jiran. Malah dengan sokongan dan teknologi daripada Jepun, kami yakin dapat menyumbang kepada usaha menghijaukan dunia,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa Majlis Sambutan 30 Tahun Jalinan Kerjasama antara Persatuan Jepun Malaysia (JMA) dan Jabatan Hutan Sarawak (JHS) di sebuah hotel di Tokyo, hari ini.
Premier Sarawak turut menekankan bahawa Sarawak sedang melaksanakan agenda strategik untuk menjadi ekonomi hijau, rendah karbon dan mampan.
Antara inisiatif yang dilaksanakan termasuklah, Peraturan Aktiviti Karbon Hutan 2022, pemulihan landskap hutan seluas 200,000 hektar menjelang 2030.
Penanaman lebih 50 juta pokok di seluruh negeri serta pengukuhan kawasan perlindungan dan pemuliharaan biodiversiti dilaksanakan bagi memperkukuh kelestarian alam.
“Hutan Sarawak bukan sekadar aset ekonomi, tetapi amanah untuk generasi akan datang. Jepun kekal sebagai rakan strategik yang amat bernilai dalam usaha ini, khususnya melalui sokongan berterusan daripada JMA,” tambah beliau.
Hadir sama dalam majlis itu ialah Duta Besar Malaysia ke Jepun, Dato’ Shahril Effendi Abd Ghany, Pengerusi JMA, Furuya Keiji, Pengarah JHS, Datu Hamden Mohammad serta rombongan lain.