
KUCHING: Seramai 7,407 orang anggota badan beruniform akan dikerahkan untuk bersiap siaga bagi menghadapi musim Monsun Timur Laut (MTL).
Anggota yang terlibat terdiri daripada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Unit Keselamatan dan Penguatkuasaan Sarawak (UKPS) termasuk Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak (JKNS)
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, MTL kali ini dijangka berlaku dalam bulan November tahun ini hingga Mac tahun hadapan, di mana semua yang terlibat telah bersedia dengan anggota dan aset yang diperlukan sekiranya berlaku bencana.
“Saya dimaklumkan bahawa dari segi anggota, jumlah keseluruhan yang disediakan melibatkan semua agensi yang saya sebutkan tadi adalah seramai 7,407 orang.
“Sementara itu, aset darat, terdapat sebanyak 3,637 unit, termasuk kenderaan dan aset berkaitan manakala aset air kita bersedia dengan 8,619 unit dan bagi aset udara pula terdapat 14 unit, merangkumi helikopter dan dron,” ujar beliau.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS), di sini, hari ini.
Beliau yang juga Pengerusi JPBNS menambah, jumlah anggota ini akan diperkuatkan dengan 22,428 orang sukarelawan yang akan bersedia membantu menghadapi MTL nanti.
Tegas beliau, UKPS juga akan digerakkan untuk mempimpin operasi di lapangan termasuk penubuhan Pasukan Tindak Balas Kecemasan Komuniti untuk mengawal keadaan di kawasan yang sukar dicapai segera oleh badan beruniform.
“Mereka ini adalah jawatankuasa masyarakat tempatan di mana kita telah membimbing mereka untuk mengambil tindakan sekiranya berlaku bencana di kampung atau rumah panjang untuk memastikan tiada nyawa hilang dan aset-aset dapat diselamatkan segera.
“Orang-orang ini dilatih secara berkala kerana sebahagian kampung dan rumah panjang kita di Sarawak terletak sangat jauh dan terpencil,” ujar beliau lagi.
Langkah persiapan yang lebih drastik ini diambil selepas mengambil iktibar daripada insiden yang berlaku di Bintulu dan Miri tahun ini.
Difahamkan, sebanyak 658 pusat pemindahan sementara telah dikenal pasti dengan arahan supaya semua peralatan diperiksa dan diperbaiki agar sentiasa bersedia digunakan apabila diperlukan.
Sementara itu, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) di bawah pimpinan Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti, Dato Sri Fatimah Abdullah akan menyediakan bantuan termasuk makanan pek siap, serta menubuhkan 28 pangkalan hadapan untuk penyimpanan bekalan.
Jabatan Kerja Raya (JKR), Jabatan Pengairan dan Saliran (DID) dan pihak berkuasa tempatan (PBT) turut diarahkan menilai keadaan jalan raya, lereng bukit dan kawasan bandar bagi mengurangkan risiko runtuhan dan banjir besar.
-UKAS