PETRA JAYA: Kerajaan Sarawak menyediakan elaun khas untuk anggota Perkhidmatan Awam Sarawak (SCS) yang dijangka memberi kesan kewangan tahunan berjumlah RM102 juta pada 2025.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, insiatif ini bagi memperkukuh kebajikan dan kesejahteraan penjawat awam negeri susulan peningkatan kos sara hidup yang semakin mencabar.
“Selaras dengan pembaharuan ini, kita akan memperkenalkan Sistem Prestasi Pengurusan yang dipertingkatkan akan diperkenalkan untuk SCS bagi memastikan perkhidmatan awam negeri ini lebih berdaya saing dan bertaraf dunia.
“Oleh itu, saya menyeru semua penjawat awam agar terus berusaha meningkatkan produktiviti dan memberi perkhidmatan yang lebih berkesan kepada rakyat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika membentangkan Belanjawan Sarawak 2025 di sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak ke-19, di sini hari ini.
Tambah Abang Johari, kerajaan Sarawak turut memperuntukkan RM200 juta untuk fasa pertama projek pembinaan perumahan baharu untuk penjawat awam di negeri ini pada 2025.
Katanya, kerajaan Sarawak akan membina perumahan dan kemudahan baharu untuk penjawat awam dengan nilai skim RM3.55 bilion.
“Pembinaan perumahan ini dijadualkan bermula pada 2025, dengan peruntukan awal sebanyak RM200 juta untuk fasa pertama projek,”katanya.
Oleh Mohd Neenatul Aizal