
SIBU: Kerajaan Sarawak terus mempergiat usaha membasmi wabak rabies dengan menyasarkan vaksinasi terhadap 50,000 ekor anjing setiap tahun menerusi pendekatan ‘One Health’ yang merangkumi aspek kesihatan manusia, haiwan dan alam sekitar.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tamin, Christopher Gira Sambang berkata, pendekatan menyeluruh itu turut melibatkan kawalan populasi haiwan, pelesenan, pendidikan awam dan penguatkuasaan Ordinan Kesihatan Awam.
“Ia membuktikan komitmen kerajaan negeri dan semua agensi berkaitan untuk menjadikan Sarawak bebas rabies menjelang 2030,” katanya ketika merasmikan program Vaksinasi Rabies di Sekolah Jenis Kebangsaan (C) Tong Ah, Selangau, semalam.
Program anjuran Persatuan Ketua Kaum Masyarakat Cina (PKKMC) Bahagian Sibu dengan kerjasama Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) Sibu itu merupakan sebahagian daripada inisiatif memperluas liputan vaksinasi, khususnya di kawasan luar bandar.
Gira berkata rabies merupakan isu kesihatan awam yang serius dan tidak boleh dipandang ringan.
“Saya menyambut baik inisiatif ini kerana selain menyediakan vaksin percuma, ia turut meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap tanggungjawab menjaga haiwan peliharaan serta langkah-langkah pencegahan,” ujarnya.
Menurutnya, sejak 2017, Sarawak telah mencatatkan 82 kes jangkitan rabies dalam kalangan manusia, dengan 75 daripadanya mengakibatkan kematian.
“Lebih 52,000 kes gigitan anjing dan 43,000 gigitan kucing turut dilaporkan. Ini bukan hanya angka semata-mata, ia melibatkan nyawa, keluarga dan masa depan masyarakat yang terkesan,” katanya.
Sehingga Oktober 2024, sebanyak 13,757 ekor anjing telah diberi vaksin melalui pelbagai program kesihatan awam yang dijalankan secara berterusan di seluruh negeri.
“Program seperti ini merupakan antara usaha berterusan kerajaan negeri bagi membendung penularan rabies, khususnya di kawasan luar bandar dan pekan kecil.
“Operasi Pembasmian Rabies serta pewujudan Pasukan Veterinar Bergerak (VMT) merupakan antara strategi utama di bawah Pelan Tindakan Penghapusan Rabies Sarawak,” katanya.
Turut hadir Pengerusi PKKMC, Temenggong Dato Vincent Lau.
Oleh Tarani Lanting