
BERLIN, Jerman: Kerajaan Sarawak terus mengorak langkah sebagai peneraju tenaga hijau apabila meneroka potensi kerjasama strategik dengan Siemens Energy, syarikat gergasi tenaga global yang berpangkalan di sini.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, lawatan ke ibu pejabat Siemens Energy membuka ruang baharu untuk Sarawak menimba pengalaman dan memanfaatkan teknologi canggih syarikat tersebut khususnya dalam proses pengeluaran hidrogen.
Menurutnya, teknologi elektroliser yang dibangunkan Siemens mampu menghasilkan 350 kilogram (kg) hidrogen sejam, berbanding kapasiti semasa Sarawak iaitu sekitar 130 kg sehari dan keupayaan itu dilihat sebagai peluang untuk Sarawak meningkatkan kecekapan dan kapasiti pengeluaran hidrogen di masa depan.
“Kita telah berbincang dengan pihak syarikat, dan Sarawak Energy Berhad (SEB) bersama Kementerian Utiliti dan Telekomunikasi akan mengkaji bentuk kerjasama dalam proses ini.
“Ini bermakna kemungkinan kita belajar daripada mereka dan untuk masa depan kita tengok bagaimana yang akan berlaku,” katanya semasa ketika ditemui UKAS dan TVS selepas mengadakan lawatan kerja ke Ibu Pejabat Siemens Energy, hari ini.
Mengiringi beliau ialah Menteri Utiliti dan Telekomunikasi, Dato Sri Julaihi Narawi, Timbalan Menteri Utiliti (Sarawak Energy dan Petros) Dato Ibrahim Baki, Setiausaha Tetap Kementerian Tenaga dan Kelestarian Alam dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan SEB Datuk Sharbini Suhaili.
Dalam pada itu, Premier Sarawak memberitahu, selain teknologi elektroliser, kerajaan Sarawak turut berminat meneroka kerjasama dalam aspek turbin gas serta pembangunan Pusat Inovasi Siemens yang menawarkan kemudahan simulasi untuk tujuan penyelidikan dan pembangunan.
Jelasnya, teknologi turbin gas Siemens boleh diaplikasikan di Samalaju termasuk penaiktarafan turbin dari semasa ke semasa.
Menurut beliau, kemudahan simulasi di Pusat Inovasi pula berpotensi dimanfaatkan oleh pengguna di Sarawak.
Abang Johari menambah, lawatan kerja rasmi tersebut amat bermakna kerana membuka ruang kerjasama baharu dalam bidang tenaga hijau, sejajar dengan aspirasi Sarawak menjadi peneraju utama industri hidrogen di rantau ini.
Sebelum itu, Abang Johari dan rombongan mengadakan pertemuan bersama Naib Presiden Kanan Kumpulan Siemens Energy yang juga Pengarah Urusan Asia Pasifik, Thorbjörn Fors dan Naib Presiden Eksekutif bagi Global Functions, Siemens Energy, Juha Pankakoski. -UKAS