
LINGGA: Sarawak menetapkan sasaran untuk menyumbang sehingga 60 peratus pengeluaran beras negara menjelang 2030, sejajar usaha kerajaan negeri memperkukuh sekuriti makanan dan meningkatkan keupayaan pengeluaran padi secara besar-besaran.
Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah, Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom berkata sasaran itu merupakan komitmen jangka panjang Sarawak dalam memperkasa industri padi melalui pendekatan moden, bersepadu dan berimpak tinggi.
Menurutnya, kerajaan negeri kini memberi tumpuan untuk memastikan Sarawak mampu mencapai 450,000 tan metrik beras setahun, mencukupi bagi kegunaan domestik.
“Namun, menjelang 2030, kita disasar boleh mencapai 60 peratus pengeluaran beras negara,” katanya ketika merasmikan Hari Ladang IADA Batang Lupar 2025 di Tanjung Bijat, dekat sini kelmarin.
Bagi merealisasikan agenda tersebut, beliau memaklumkan bahawa Mesyuarat Kabinet Negeri Selasa lalu telah bersetuju menubuhkan Lembaga Padi dan Beras Sarawak, sebagai badan penyelaras utama pembangunan industri padi negeri.
Dalam pada itu, Dr Rundi berkata Program SMART Sawah Berskala Besar (SBB) yang dilaksanakan di Sarawak melalui IADA Batang Lupar terus menunjukkan hasil memberangsangkan.
Melalui usahasama strategik antara BERNAS dan Advansia (Sarawak) Sdn Bhd, program tersebut melibatkan 83 hektar tanaman padi di Blok C Tanjung Bijat dengan penyertaan 202 pesawah.
Hasil pelaksanaan teknologi dan pengurusan ladang moden, program itu mencatat peningkatan ketara dengan tuaian 5.5 tan metrik pada musim kedua 2023, berbanding 2.8 tan metrik sebelum ini.
Majlis perasmian itu turut dihadiri Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Begunan, Datuk Mong Dagang; Pengarah IADA Batang Lupar, Irene Lah; dan Pengarah Jabatan Pertanian Sarawak, Dominic Chunggat.
Oleh Adi Safarman