
KUCHING: Minggu Tenaga Antarabangsa Ke-6 (IEW 2025) dijangka membuka peluang pelaburan dan perniagaan bernilai lebih AS$2.5 bilion dalam usaha memperkukuh sektor tenaga Sarawak ke peringkat antarabangsa.
Timbalan Menteri Tenaga dan Kemampanan Alam Sekitar, Datuk Dr Hazland Abg Hipni berkata, penganjuran IEW 2025 merupakan langkah strategik kerajaan negeri bagi menarik pelaburan baharu khususnya dalam bidang tenaga boleh diperbaharui dan teknologi bersih.
“IEW 2025 bukan sekadar pameran, tetapi platform ekonomi berimpak tinggi yang menghimpunkan pelabur, penggiat industri dan penggubal dasar dari seluruh dunia,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan yang dikeluarkan, hari ini, selepas mempengerusikan mesyuarat akhir jawatankuasa pemandu bagi memastikan kelancaran penganjuran Minggu Tenaga Antarabangsa ke-6 (IEW) 2025.
IEW 2025 bakal berlangsung dari 15 hingga 17 Julai ini di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) dengan tema “Dari Sarawak ke Persada Dunia: Menyahut Cabaran Kepimpinan Tenaga Bersih.”
Acara berprestij itu dianjurkan oleh Kementerian Tenaga dan Kemampanan Alam Sekitar Sarawak (MEESty) bersama Informa Markets dengan kerjasama Oil & Gas Asia (OGA).
Lebih 6,500 peserta dari 25 negara termasuk 400 syarikat dari 30 negara dan 500 perwakilan tempatan serta antarabangsa dijangka menghadiri acara tersebut.
Majlis perasmian IEW 2025 bakal disempurnakan oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Antara fokus utama yang akan diketengahkan termasuk pembangunan hidrogen, teknologi penangkapan karbon dan infrastruktur hijau yang diyakini mampu menjadikan Sarawak sebagai peneraju tenaga bersih serantau.
Sidang Kemuncak IEW 2025 juga akan menampilkan pemimpin utama seperti Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Dato Sri Fadillah Yusof; Datuk Dr Hazland sendiri; serta tokoh-tokoh dari Petros, Sarawak Energy Berhad, Siemens Energy dan Schneider Electric.
IEW 2025 turut menekankan prinsip ESG (Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus) dengan lebih 20 sesi tematik mengenai kelestarian dan pelaburan hijau dijadualkan berlangsung sepanjang acara.
Turut hadir Timbalan Setiausaha Tetap MEESty yang juga Ketua Bahagian Tenaga Ts Dr Nurleyna Yunus, Pengurus Besar BESarawak Jason Tan Chin Foo dan Pengurus Informa Markets, Mohd Dzahir Ridzuan.
IEW 2025 dijangka bukan sahaja meningkatkan reputasi Sarawak di pentas antarabangsa, malah memperkukuh daya saing negeri ini dalam sektor tenaga masa hadapan.