
KUCHING: Prestasi memberangsangkan laluan penerbangan terus Guangzhou-Kuching membuktikan permintaan yang semakin meningkat terhadap hubungan udara antara Sarawak dan China.
Menurut Menteri Pengangkutan, Dato Sri Lee Kim Shin, perkhidmatan penerbangan terus Guangzhou-Kuching yang dikendalikan oleh Batik Air sejak 17 Mac lalu telah menunjukkan prestasi yang menggalakkan dengan merekodkan 22 penerbangan pergi balik sehingga 6 Jun, melibatkan seramai 5,892 penumpang dan faktor muatan purata sebanyak 85 peratus.
“Kira-kira 40 peratus daripada penumpang merupakan peserta pakej pelancongan berkumpulan manakala selebihnya terdiri daripada pelancong bebas serta tempahan melalui platform agensi pelancongan dalam talian (OTA),” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menerima kunjungan hormat Ketua Pegawai Eksekutif Baohang International, Brandon Zhu, di pejabatnya di Bangunan Baitulmakmur di sini semalam.
Tambah beliau, laluan tersebut turut merekodkan pengendalian kargo terkumpul sebanyak 44 tan sejak diperkenalkan.
“Perkhidmatan seperti ini bukan sahaja memudahkan pergerakan penumpang antara kedua-dua destinasi, malah menyokong pertumbuhan sektor pelancongan, perdagangan dan pelaburan.
“Kerajaan Sarawak sentiasa menyokong usaha memperkukuh hubungan antarabangsa yang mampu membawa lebih ramai pelawat serta peluang pelaburan ke negeri ini,” jelasnya.
Mengulas lanjut, China kekal sebagai antara rakan ekonomi terpenting Sarawak dengan semakin banyak syarikat dari negara itu terlibat dalam projek pembangunan negeri khususnya dalam sektor tenaga boleh diperbaharui, pembuatan, infrastruktur, logistik dan teknologi.
Pada masa sama, beliau berkata Sarawak semakin mendapat perhatian pelancong China hasil kepelbagaian budaya, kekayaan khazanah alam semula jadi, produk ekopelancongan serta reputasinya sebagai destinasi yang selamat dan mesra pelawat.
Dalam pertemuan itu, Lee turut mencadangkan agar Baohang International meneroka kemungkinan membuka laluan penerbangan terus antara China dan Miri pada masa hadapan.
“Miri mempunyai potensi besar sebagai destinasi pelancongan dan perniagaan selain kedudukannya yang lebih hampir dengan China, sekali gus mampu mengurangkan tempoh perjalanan dan kos operasi.
“Bandar raya itu juga menjadi pintu masuk ke utara Sarawak termasuk ke Taman Negara Gunung Mulu dan Taman Negara Niah,” ujarnya.
Sementara itu, Brandon turut memaklumkan syarikatnya sedang meneliti cadangan memperkenalkan laluan penerbangan terus Shanghai-Kuching.
Cadangan tersebut disambut baik Menteri Pengankutan yang menyifatkan hubungan terus dengan Shanghai mampu memperkukuh lagi jaringan perdagangan dan pelaburan antara Sarawak dan China.
Beliau turut dimaklumkan bahawa Baohang International sedang meneroka peluang kerjasama dengan AirBorneo termasuk kemungkinan menjadi ejen jualan am (GSA) syarikat penerbangan itu di China bagi membantu memperluas pasaran serta pembangunan laluan baharu.
Lee menegaskan kementeriannya akan terus bekerjasama dengan syarikat penerbangan, pemain industri dan rakan strategik bagi memperluas rangkaian penerbangan antarabangsa serta mengukuhkan kedudukan Sarawak sebagai pintu masuk pilihan ke Borneo dan rantau ASEAN.