
KUCHING: Kontinjen Sarawak meletakkan sasaran tinggi untuk muncul sebagai juara keseluruhan pada Sukan Borneo Kuching (BGK) 2025 yang bakal membuka tirai pada 24 September ini.
Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan yang juga Ketua Kontinjen, Datuk Dr Ripin Lamat, menegaskan keyakinan itu hadir bersama peringatan agar atlet tidak memandang ringan cabaran pasukan lawan.
“Kita memang menyasarkan juara keseluruhan. Jumlah pingat masih diperincikan, namun saya yakin kita mampu mencapainya.
“Bagaimanapun, kontinjen tidak boleh mengambil mudah cabaran daripada Sabah, Kalimantan Timur, Labuan dan Brunei,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media semasa majlis Penyerahan Bendera Kontinjen Sarawak di Perkampungan Sukan Sarawak (SSV), di sini pagi tadi.
Sementara itu, Pemangku Pengarah Majlis Sukan Negeri Sarawak (MSNS), Khairul Nizam Morshidi, memaklumkan semua acara sukan tetap dipertandingkan selepas penyertaan mencukupi diterima daripada negeri dan wilayah yang mengambil bahagian.
“Selepas pendaftaran delegasi pada Sabtu lalu, Kalimantan Timur telah mengesahkan penyertaan. Maka, kesemua acara akan diteruskan seperti dirancang,” jelasnya.
BGK 2025 bakal dirasmikan oleh Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah, sekali gus menjadi wadah memperkukuh semangat kesukanan dan perpaduan rakyat Borneo.
Oleh Masrin Affirah