Sarawak sasar jadi pintu gerbang Umrah Borneo

Facebook
WhatsApp
MEMPERKUKUH KERJASAMA… Pengerusi Persatuan Umrah dan Haji Sarawak (SUHA), Ruzaiman Ghazalee bertukar dokumen Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Ketua Forum Kolaborasi Perusahaan Perjalanan Ibadah Umrah (FKPPIU) Kalimantan Barat, Anwar Sayuthi Hosein.

MIRI: Sarawak menyasarkan untuk muncul sebagai salah satu pintu gerbang penting industri Umrah di Borneo menerusi pembangunan ekosistem yang lebih tersusun, profesional dan berdaya saing.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, berkata kedudukan strategik Sarawak serta hubungan rapat dengan Sabah, Kalimantan dan Brunei menjadi kelebihan bagi negeri ini memperkukuh peranannya dalam industri berkenaan.

Menurut beliau, Sarawak tidak seharusnya hanya menjadi pengguna kepada industri Umrah, sebaliknya perlu tampil sebagai pemain utama dalam membentuk ekosistem Umrah di rantau Borneo.

“Kita mahu menjadi pemain dan melihat Sarawak mempunyai ekosistem Umrah yang lebih tersusun, profesional serta berdaya saing,” katanya.

Abang Johari berkata demikian dalam teks ucapan beliau yang dibacakan Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Penyelaras Projek untuk Pembangunan Wilayah, Dewan Bandaraya Kuching Utara dan Hal Ehwal Islam), Datuk Abdul Rahman Junaidi, pada majlis penutupan Festival Ekspo Umrah dan Pelancongan Islam Sarawak 2026 (SUITEX26) di sini malam tadi.

Abang Johari berkata Sarawak mempunyai jaringan pengangkutan, infrastruktur, industri pelancongan dan ekosistem perniagaan yang terus berkembang, sekali gus memberi asas kukuh untuk pembangunan industri Umrah secara bersepadu.

Katanya, usaha berkenaan memerlukan kerjasama erat antara agensi Umrah, syarikat penerbangan, sektor perhotelan, pengangkutan, penyedia perkhidmatan serta institusi pendidikan dan agama.

“Jika dilaksanakan secara bersepadu, saya percaya Sarawak boleh memainkan peranan sebagai salah satu pintu gerbang Umrah penting bagi masyarakat di Borneo,” katanya.

Beliau berkata pembangunan industri Umrah juga mampu menjadi sebahagian daripada pemacu ekonomi pelancongan Sarawak kerana membabitkan pelbagai sektor perkhidmatan.

“Perjalanan seorang jemaah ke Tanah Suci membabitkan persediaan ilmu dan kursus, urusan perjalanan, penerbangan, pengangkutan, penginapan, makanan serta perkhidmatan sokongan.

“Kesemuanya mempunyai nilai ekonomi. Ini bermakna pembangunan industri Umrah juga boleh membuka ruang kepada peluang pekerjaan, keusahawanan dan pertumbuhan ekonomi tempatan,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata kehadiran pemain industri dari Indonesia dan Brunei pada SUITEX26 membuka peluang lebih besar untuk membentuk jaringan Umrah Borneo yang lebih kukuh.

Menurutnya, Sarawak, Kalimantan dan Brunei boleh saling melengkapi menerusi perkongsian kepakaran, pembinaan jaringan industri serta peluasan pilihan perjalanan.

“Borneo tidak perlu hanya menjadi pasaran kepada industri Umrah. Borneo boleh menjadi sebahagian daripada ekosistem industri Umrah itu sendiri,” katanya.

Pada masa sama, Abang Johari menegaskan pertumbuhan industri berkenaan perlu seiring dengan kepercayaan masyarakat terhadap penyedia perkhidmatan.

Katanya, industri Umrah perlu ditadbir secara profesional, telus dan bertanggungjawab bagi memastikan jemaah mendapat pengalaman terbaik sejak membuat persediaan sehingga pulang ke tanah air.

“Kita mahu jemaah memperoleh pengalaman yang baik bermula daripada saat mereka membuat persediaan sehingga kembali ke tanah air.

“Dalam industri ini, reputasi bukan dibina dalam sehari, sebaliknya melalui setiap jemaah yang pulang dengan pengalaman yang baik,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menyeru pemain industri Umrah di Sarawak supaya tidak hanya bersaing menjual pakej, sebaliknya memberi tumpuan kepada peningkatan kualiti pengalaman jemaah dan pembangunan keseluruhan industri.

Beliau berkata kerajaan Sarawak memerlukan rakan strategik daripada sektor swasta dan pemain industri dalam membangunkan ekosistem berkenaan.

“Saya percaya SUHA boleh menjadi salah satu rakan penting dalam usaha ini,” katanya.

Abang Johari berkata impian membangunkan jenama ‘Umrah Borneo’ mampu direalisasikan menerusi kerjasama erat antara Sarawak, Kalimantan dan Brunei.

“Kita mahu industri yang profesional, perkhidmatan berkualiti, jemaah yang dilindungi serta jaringan perjalanan yang lebih luas, dengan Sarawak sebagai salah satu pintu gerbang penting Umrah dari Borneo.

“Saya percaya impian itu boleh dicapai, tetapi ia memerlukan kerjasama. Melalui SUITEX26, kita telah menunjukkan bahawa asas kepada kerjasama itu sudah ada,” katanya.

Pada majlis tersebut, beliau turut merasmikan penutupan SUITEX26 serta melancarkan Buku Pelaksanaan Solat Fardhu dan Solat Sunat Harian bagi memperkasakan ilmu dan persediaan umat Islam dalam melaksanakan ibadah.

Oleh Liong Chai Ling