
PETRA JAYA: Sarawak menyasarkan untuk menjadi pengeksport bersih makanan menjelang 2030 melalui pelaksanaan dasar pertanian bersepadu yang melibatkan aspek penyelidikan, pembangunan, pengeluaran, dan pemasaran.
Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah, Dato Sri Dr. Stephen Rundi Utom, berkata pencapaian ini memerlukan kerjasama menyeluruh daripada pelbagai pihak termasuk agensi pelaksana dan komuniti tani.
“Kita tidak boleh ubah sektor makanan ini dalam masa satu malam. Ia melibatkan perubahan struktur, budaya kerja, serta pemikiran semua pihak, termasuk jabatan dan agensi berkaitan,” katanya dalam sidang media di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, hari ini.
Beliau berkata, antara fokus utama kerajaan negeri adalah untuk meningkatkan Tahap Sara Diri (SSL) beras kepada 100 peratus menjelang 2030, yang dilihat sebagai asas utama dalam mencapai status pengeksport bersih makanan.
“Kalau China dengan 1.4 bilion penduduk boleh capai 100 peratus SSL, tidak ada sebab Sarawak dengan hanya 2.5 juta penduduk tidak boleh capai sasaran yang sama,” ujarnya.
Stephen Rundi turut menekankan bahawa pelaburan dalam teknologi pertanian moden dan pembangunan agropark berskala besar adalah strategi utama kerajaan bagi meningkatkan produktiviti serta menarik penyertaan golongan muda dalam sektor pertanian.
“Kita mahu anak muda melihat pertanian sebagai satu peluang kerjaya moden dan menguntungkan. Mereka celik IT dan lebih bersedia menerima perubahan sekiranya diberi pendedahan dan kemudahan yang sesuai.
“Sebanyak sembilan agropark kini sedang dibangunkan di seluruh negeri bagi menyokong pengeluaran makanan secara berindustri dan mampan,” jelasnya.
Beliau turut menyifatkan perubahan iklim sebagai cabaran utama kepada kestabilan hasil pertanian negeri, namun menegaskan bahawa perancangan dan kesiapsiagaan adalah kunci untuk mengurangkan impak tersebut.
“Kita tidak boleh kawal alam, tetapi kita boleh rancang dan bersedia. Negara seperti Brazil, China dan India telah lama menghadapi cabaran ini, dan kita harus belajar daripada mereka,” katanya.
Stephen Rundi mendedahkan bahawa lebih 400 permintaan daripada komuniti tani telah diterima melalui jabatan seperti Jabatan Pertanian (DOA) dan Jabatan Pengairan dan Saliran (DID), khususnya berkaitan keperluan jalan ladang.
“Kita tidak boleh capai status pengeksport bersih jika petani kita masih bergelut dengan isu akses asas.
“Sebab itu sokongan menyeluruh daripada kerajaan amat penting,” tegasnya.
Kerajaan Sarawak juga sedang meneliti penggubalan ordinan baharu bagi mengurus sumber perikanan negeri, termasuk pembangunan industri perikanan laut dalam seperti tuna, dan barramundi.
Langkah ini, katanya lagi, dilihat sebagai sebahagian daripada strategi jangka panjang kerajaan untuk memperluas sektor makanan dan menjadikan Sarawak lebih berdaya saing di peringkat global.
Oleh Masrin Affirah