
KUCHING: Sarawak menyasarkan peralihan daripada sekadar pengguna teknologi digital kepada pencipta, pemilik dan pengeksport inovasi bagi memperkukuh daya tahan ekonomi serta daya saing jangka panjang negeri ini.
Menurut Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat I (Pendidikan dan Inovasi), Datuk Dr. Annuar Rapaee, syarikat pemula niaga memainkan peranan strategik dalam menjayakan aspirasi tersebut selari dengan Strategi Pembangunan Pasca-COVID 2030 (PCDS 2030) dan Pelan Induk Ekonomi Digital Sarawak 2030.
“Sarawak tidak boleh hanya bergantung kepada pembangunan infrastruktur dan pelaburan semata-mata, sebaliknya perlu membangunkan bakat yang mampu mencipta nilai melalui inovasi,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam teks ucapannya yang dibacakan oleh Ketua Bahagian Inovasi Kementerian Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat (MEITD), Cheng Yaw Liang, pada Majlis Startup Innovation Showcase 2026 (SIS 2026) di TEGAS Digital Village, di sini, hari ini.
Beliau mengulas lanjut bahawa inovasi merupakan pemacu utama pertumbuhan ekonomi mampan dan kemakmuran jangka panjang negeri.

“Pendekatan ini penting bagi memastikan Sarawak bukan sekadar menggunakan teknologi digital, tetapi turut mencipta, memiliki dan mengeksport inovasi.
“Program pemecut seperti DiVA dan SaSAR menyediakan persekitaran berstruktur yang membolehkan pengasas berkembang dengan disiplin, tujuan jelas serta pendedahan kepada mentor, industri dan ekosistem pasaran.
“Program ini bukan sahaja melahirkan usahawan, malah membentuk kepimpinan dan melengkapkan pendidikan formal melalui laluan praktikal inovasi dan keusahawanan,” jelasnya.
Dalam pada itu, beliau berkata syarikat pemula niaga berasaskan teknologi turut menyumbang kepada penciptaan pekerjaan berkualiti serta aktiviti ekonomi bernilai tinggi.
“Ini sekali gus mengukuhkan daya saing Sarawak sebagai hab inovasi digital di peringkat serantau,” ujarnya.
Untuk rekod, SIS 2026 menampilkan tujuh syarikat pemula niaga terpilih daripada DiVA dan 10 daripada SaSAR yang membentangkan penyelesaian teknologi serta model perniagaan kepada pelabur, agensi kerajaan dan rakan korporat.

Antara syarikat terpilih DiVA ialah Maxeon Technologies Sdn Bhd, Robopreneur, OINC Sdn Bhd, Sustainaviro Technology Sdn Bhd, Stinablis Sdn Bhd, CtrlD Studio dan SpaceIn Sdn Bhd yang membangunkan teknologi seperti kecerdasan buatan, robotik, automasi, agriteknologi serta kandungan digital.
Program DiVA dan SaSAR yang diterajui Perbadanan Ekonomi Digital Sarawak (SDEC) bertujuan membantu syarikat pemula niaga teknologi dan perisian berkembang serta menyokong pembangunan ekonomi digital Sarawak.
Oleh Masrin Affirah