Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • SEMASA
  • Sarawak sasar jadi model ekonomi Islam berasaskan zakat, wakaf – Premier Sarawak
  • SEMASA

Sarawak sasar jadi model ekonomi Islam berasaskan zakat, wakaf – Premier Sarawak

Utusan Sarawak 18 hours ago
RASMIKAN… Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata ketika menyempurnakan gimik perasmian Mesyuarat Tahunan ke-14 World Zakat and Waqf Forum (WZWF) dan Persidangan Antarabangsa 2025 di Pusat Acara Hikmah Exchange di sini, hari ini. Foto Masrin Affirah dan Shahrul Qaizat

KUCHING: Sarawak berhasrat menjadi model dalam menerapkan konsep zakat dan wakaf ke arah pembangunan ekonomi moden yang berteraskan kelestarian, integriti dan kebajikan masyarakat, kata Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Beliau berkata, prinsip pengagihan kekayaan melalui zakat serta pengurusan amanah wakaf bukan sahaja relevan kepada pembangunan sosial, malah boleh dijadikan asas kepada model ekonomi Islam yang menyokong kemajuan dunia moden.

“Apabila kita fahami konsep zakat secara mendalam, ia sebenarnya adalah proses pengagihan semula kekayaan. Semakin tinggi pendapatan seseorang, semakin banyak zakat dibayar, dan hasilnya memperkayakan masyarakat,” katanya.

Abang Johari berkata demikian ketika berucap pada Mesyuarat Tahunan ke-14 World Zakat and Waqf Forum (WZWF) dan Persidangan Antarabangsa 2025 di Pusat Acara Hikmah Exchange di sini, hari ini.

JELASKAN… Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg ketika berucap pada Mesyuarat Tahunan ke-14 World Zakat and Waqf Forum (WZWF) dan Persidangan Antarabangsa 2025 di Pusat Acara Hikmah Exchange di sini, hari ini. Foto Masrin Affirah dan Shahrul Qaizat

Menurut beliau, Sarawak kini mengamalkan prinsip serupa dalam pengurusan sumber semula jadi dan pembangunan tenaga boleh baharu, termasuk projek hidrogen, hidro dan solar, yang dilihat sebagai bentuk wakaf moden untuk manfaat bersama rantau ini.

“Sumber air, cahaya matahari dan hutan yang dikurniakan Allah kepada kita harus diurus secara amanah untuk pembangunan bersama.

“Apabila kita membina empangan dan menghasilkan tenaga bersih, kemudian berkongsi tenaga itu dengan negara jiran seperti Brunei, Indonesia dan Filipina, itu juga sebahagian daripada konsep wakaf, mengurus sumber untuk manfaat umat manusia,” jelasnya.

Abang Johari berkata, pendekatan itu mencerminkan bagaimana nilai Islam dapat diintegrasikan dengan strategi ekonomi moden, termasuk dalam konteks mitigasi perubahan iklim dan penggunaan tenaga bersih.

Beliau menegaskan bahawa umat Islam perlu memahami kembali falsafah asal zakat dan wakaf seperti yang digariskan oleh cendekiawan Islam terdahulu termasuk Ibn Khaldun, yang telah membincangkan konsep ekonomi dan pengurusan sumber jauh sebelum tokoh ekonomi Barat seperti Adam Smith dan John Maynard Keynes.

“Ibn Khaldun sudah berbicara tentang pembahagian kerja dan pengurusan sumber yang berintegriti, jauh mendahului teori ekonomi moden.

“Kalau kita urus sumber ini dengan penuh amanah dan kebijaksanaan, hasilnya akan dikongsi dengan masyarakat dan itulah keberkatan sebenar,” ujar beliau.

Premier Sarawak turut menekankan bahawa kekuatan dunia Islam masa kini perlu digerakkan bukan sahaja melalui sumber semula jadi, tetapi juga melalui ilmu, teknologi dan integriti pengurusan.

“Tuhan memberi kita pelbagai kelebihan. Perkara penting ialah bagaimana kita menggunakan anugerah itu dengan ilmu dan amanah untuk memberi manfaat kepada umat,” katanya.

Beliau turut mengalu-alukan kehadiran perwakilan antarabangsa yang berhimpun di Kuching untuk membincangkan instrumen ekonomi Islam, serta merakam penghargaan kepada pihak WZWF kerana memilih Sarawak sebagai tuan rumah persidangan berprestij itu.

Oleh Masrin Affirah dan Shahrul Qaizat

Tags: SEMASA

Continue Reading

Previous: Baitulmal Sarawak kekal berperanan di peringkat negeri – Abang Johari
Next: Kadar residivis penjara Sarawak terendah di Malaysia 

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.