
MUKAH: Penguasaan dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) bukan lagi pilihan tetapi menjadi kunci utama untuk membawa Malaysia, khususnya Sarawak, ke arah kemajuan dan daya saing global.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tellian, Royston Valentine berkata, negara yang menguasai STEM tidak sekadar menjadi pengguna teknologi tetapi juga pencipta dan peneraju inovasi di peringkat antarabangsa.
“Dalam era Revolusi Industri 4.0, penguasaan STEM amat penting untuk melahirkan generasi yang berfikiran kritis, kreatif dan mampu memimpin perubahan berasaskan teknologi,” katanya ketika merasmikan penutupan Karnival STEM@Mukah 2025 di Politeknik Mukah, hari ini.
Beliau menegaskan bahawa usaha mengarusperdanakan pendidikan STEM di Sarawak selari dengan agenda negeri melalui Pelan Induk Ekonomi Digital Sarawak dan Pelan Pembangunan Pasca-COVID-19 Sarawak (PCDS) 2030.

Kedua-dua dokumen itu menurutnya, memberi penekanan kepada pembangunan tenaga kerja berkemahiran tinggi bagi menjadikan Sarawak sebagai hab industri berteknologi tinggi di rantau ini.
“Kejayaan karnival ini membuktikan bakat dan potensi anak muda Sarawak amat luar biasa. Jika diasah dengan baik, mereka mampu membawa negeri ini lebih jauh ke hadapan,” katanya.
Royston turut menjelaskan aktiviti sebegitu bukan sahaja menyerlahkan kreativiti pelajar, malah melatih mereka berfikir di luar kotak, menyelesaikan masalah secara kreatif serta bekerja dalam pasukan.

Beliau turut menggesa pelajar agar terus memupuk minat dalam bidang STEM dan tidak takut menghadapi kegagalan.
“Kegagalan hanyalah batu loncatan kepada kejayaan. Beranilah mencipta sesuatu yang baharu kerana masa depan negara berada di tangan anda semua,” tegasnya.
Oleh Adele Rissa