
PETRA JAYA: Sarawak berada pada landasan kukuh untuk muncul sebagai hab seni persembahan serantau, dengan potensi menarik lebih banyak produksi dan persembahan antarabangsa susulan peningkatan ketara aktiviti seni persembahan di negeri ini.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, sambutan luar biasa terhadap persembahan orkestra dari Jepun baru-baru ini mencerminkan minat dan penerimaan tinggi masyarakat terhadap seni persembahan bertaraf antarabangsa.
Menurut beliau, perkembangan itu membuktikan Sarawak mempunyai pasaran yang berdaya saing untuk menganjurkan persembahan berskala besar, khususnya apabila kemudahan seni persembahan yang dirancang siap sepenuhnya kelak.
“Ini menunjukkan kita mampu menarik persembahan antarabangsa, termasuk teater dan muzikal, apabila prasarana seni persembahan kita lengkap.
“Biasanya persembahan sebegini mempunyai peminat tersendiri dan mereka akan mengikuti artis atau produksi tersebut, sekali gus membantu kita menarik lebih ramai penonton,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Program Berjalan untuk Kesihatan bersama Premier Sarawak di Taman Botani Sarawak, di sini, hari ini.
Terdahulu, penganjuran program Anime, Komik dan Permainan (ACG) 2026 anjuran The Band Lab di Stadium Perpaduan Sarawak menyaksikan kehadiran artis Jepun termasuk AvantGardey, yang memukau penonton menerusi persembahan berinspirasikan runut bunyi anime popular dunia.
Dalam perkembangan berkaitan, Abang Johari menegaskan bahawa pembangunan prasarana seni persembahan yang moden dan lengkap merupakan faktor kritikal bagi menyokong pertumbuhan industri kreatif dan seni persembahan di Sarawak.
Sehubungan itu, beliau berkata pembinaan Pusat Seni Persembahan Sarawak dirancang sebagai antara fasiliti paling moden di rantau ini, dengan Royal Albert Hall di London dijadikan sebagai model rujukan.
Oleh Shahrul Qaizat