Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • TEMPATAN
  • Sarawak sasar jadi hab pelancongan perubatan serantau menerusi IMTC 2025
  • TEMPATAN

Sarawak sasar jadi hab pelancongan perubatan serantau menerusi IMTC 2025

Utusan Sarawak 2 days ago
Poster Persidangan Pelancongan Perubatan Antarabangsa (IMTC) 2025.


KUCHING: Sarawak berhasrat muncul sebagai hab pelancongan perubatan serantau menerusi penganjuran Persidangan Pelancongan Perubatan Antarabangsa (IMTC) 2025, yang akan berlangsung mulai esok hingga lusa di Hotel Imperial, di sini.

Persidangan anjuran Empire Consortium Sdn Bhd (EMCO) itu membawa tema ‘Membuka Potensi Borneo sebagai Sempadan Baharu Pelancongan Perubatan’ dan mendapat pengiktirafan rasmi daripada Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Sim Kui Hian, yang turut akan merasmikan pelancarannya.

Poster Persidangan Pelancongan Perubatan Antarabangsa (IMTC) 2025.

Penganjuran IMTC 2025 dilihat sebagai usaha memperkukuh komitmen kerajaan negeri dalam membangunkan sektor pelancongan perubatan sebagai pemacu ekonomi baharu melalui gabungan bidang kesihatan, kesejahteraan dan hospitaliti.

Pengerusi Penganjur IMTC 2025, Sharifah Azizah Sayeed Aman Ghazali berkata Sarawak memiliki potensi besar dalam bidang tersebut berikutan keunikan hospitaliti, budaya serta perkembangan pesat sektor kesihatan tempatan.

“IMTC bukan sekadar persidangan tetapi platform untuk memperlihatkan bagaimana kolaborasi antara sektor awam dan swasta boleh menjana peluang serta pertumbuhan industri yang mampan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sementara itu, Pengarah Persidangan, Nida Hamid berkata IMTC menjadi titik permulaan bagi menjenamakan Borneo sebagai destinasi perubatan dan kesejahteraan bertaraf antarabangsa.

“Kami berbangga dapat menghimpunkan pakar, pelabur dan fasilitator antarabangsa di bawah satu bumbung. IMTC akan membuka lembaran baharu dalam penjagaan rentas sempadan,” ujarnya.

Poster Persidangan Pelancongan Perubatan Antarabangsa (IMTC) 2025.

Persidangan dua hari itu bakal menampilkan barisan penceramah berpengaruh termasuk Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Datuk Dr. Mahathar Abd. Wahab, Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Pakar Perubatan Normah, Dato’ Dr. Au Yong Kien Hoe serta tokoh-tokoh industri seperti Dato’ Sri Dr. Vincent Tiew (KL Wellness City), Brent Yap (Malaysian Business Council UAE), Raymond Chua (Care Collective), Hanim Shukor (Passage Asia), Nuwal Fadhilah Ku Azmi (Tourism Malaysia) dan Dini Tajudin (DINIFLIX).

Antara sesi tumpuan ialah Sesi Fireside Chat bersama Tan Sri Dato’ Seri Dr. Noor Hisham Abdullah, Pengerusi Kumpulan Penjagaan Kesihatan UCSI dan bekas Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, yang bertajuk ‘Memperkasa Sektor Penjagaan Kesihatan Masa Hadapan: Inovasi, Kebolehcapaian dan Kepercayaan dalam Pelancongan Perubatan Rentas Sempadan.’

Majlis penutupan pula akan disempurnakan oleh Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Datuk Snowdan Lawan.

IMTC 2025 mendapat sokongan padu daripada Kementerian Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan (MPHLG) serta Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan (MTCP), dengan kerjasama Business Events Sarawak (BE Sarawak).

Selain penyertaan tempatan, persidangan ini turut disertai perwakilan dan penceramah dari Indonesia, Emiriah Arab Bersatu (UAE), Filipina serta beberapa negara ASEAN, menandakan keyakinan pelabur antarabangsa terhadap potensi Sarawak sebagai hab pelancongan kesihatan serantau.

Menurut Nida, EMCO merancang memperkembangkan IMTC sebagai acara tahunan peringkat serantau yang turut menampilkan pameran pelancongan perubatan, forum pelaburan B2B serta anugerah inovasi.

“IMTC adalah komitmen jangka panjang kami untuk meletakkan Sarawak di peta pelancongan perubatan dunia dan mencipta impak positif kepada komuniti tempatan,” katanya.

Tags: TEMPATAN

Continue Reading

Previous: Inisiatif sabun beras pupuk usahawan kecil tempatan
Next: Pesona budaya India ceriakan pentas Little Miss Bollywood Sarawak 2025

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.