
LAWAS: Sarawak bakal muncul sebagai peneraju dalam pengeluaran keju mozzarella berasaskan susu kerbau apabila kilang pemprosesan produk tersebut dijangka siap, Ogos ini.
Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah, Datuk Dr Abdul Rahman Ismail, berkata kilang tersebut terletak di Stesen Penternakan Kerbau Meragang, Lawas, dan akan menempatkan lebih 200 ekor kerbau jenis Murrah yang diimport dari Australia untuk fasa pertama, diikuti lebih 500 ekor lagi pada fasa kedua menjelang hujung tahun ini.
“Kerbau jenis Murrah ini yang mampu menghasilkan susu dalam jumlah besar sedang menjalani proses kuarantin di Miri, dan dijangka akan dibawa ke Lawas pada penghujung bulan ini.
“Bagi fasa kedua, pihak Jabatan Perkhidmatan Veterinar akan menerima lebih 500 ekor kerbau spesies sama menjelang hujung tahun, menjadikan jumlah keseluruhan hampir 1,000 ekor yang akan ditempatkan di Stesen Penternakan Kerbau Meragang,” katanya.
Abdul Rahman berkata demikian selepas melakukan lawatan kerja ke stesen berkenaan di Merapok, Lawas, hari ini.
Turut hadir dalam lawatan tersebut ialah Ahli Parlimen Lawas, Datuk Henry Sum Agong dan Pegawai Veterinar Daerah Lawas, Robine Asut.
Kilang keju mozzarella bernilai RM16 juta itu bakal menjadi pengeluar terbesar di Asia Tenggara, dengan prospek eksport ke negara-negara Eropah dan lain-lain pasaran antarabangsa.
Pemasangan mesin pemprosesan keju dijadualkan bermula pada Jun ini melalui pinjaman dana daripada Agro Bank.
Oleh Adeng Edrus