KUCHING: Kerajaan Sarawak menyasarkan industri perkayuan untuk menjana pendapatan eksport tahunan sebanyak RM8 bilion menjelang 2030.
Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, ia dikenal pasti sebagai salah satu sektor ekonomi penting untuk mengubah Sarawak menjadi sebuah negeri maju dan berpendapatan tinggi menjelang 2030.
“Adalah penting untuk terus membangunkan industri ini dengan cara yang mampan.
“Untuk memastikan pematuhan ketat kepada keperluan pengurusan hutan, semua lesen kayu hutan jangka panjang mesti diperakui di bawah Kriteria dan Petunjuk Malaysia untuk Pengurusan Hutan Lestari (MC&I SFM) menjelang 2025,” katanya.
Beliau berkata demikian pada majlis penutupan Persidangan Antarabangsa Kejuruteraan Kayu 2023 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) di sini, hari ini.
Abang Johari berkata, pembangunan hutan yang ditanam mesti dipertingkatkan untuk membolehkan hasil yang tinggi dan kayu balak yang berkualiti bagi mempercepatkan pertumbuhan industri hiliran kayu domestik.
“Potensi tumbuhan buluh yang berkembang pesat adalah untuk dijadikan modal sebagai bahan baharu bagi menyokong dan mengekalkan industri.
“Selaras dengan ini, ladang hutan telah dibangunkan di Sarawak untuk memastikan bekalan bahan mentah yang mampan dan boleh diperbaharui untuk industri perkayuan,” katanya.
Sarawak telah melancarkan Strategi Pembangunan Pasca Covid-19 (PCDS 2030), untuk menjadi masyarakat yang berkembang maju didorong oleh data dan inovasi untuk menikmati kemakmuran ekonomi, keterangkuman sosial dan kelestarian alam sekitar.
“Matlamatnya adalah untuk menggandakan saiz ekonomi daripada RM136 bilion pada 2019 kepada RM282 bilion pada 2030.
“Ke arah itu, ekonomi Sarawak perlu berkembang secara purata enam hingga lapan peratus setahun sehingga 2030,” katanya.
Oleh Azreen Keria