
KUCHING: Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) menjadi rakan strategik utama Sarawak dalam usaha memperkasa pengeluaran benih padi berkualiti bagi mengurangkan kebergantungan terhadap beras import.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, keluasan tanah dan potensi besar yang dimiliki negeri ini memerlukan sokongan teknologi serta penyelidikan bagi menghasilkan benih padi yang sesuai dengan struktur tanah tempatan.
“Kalau MARDI dapat membantu memperbanyakkan benih berkualiti untuk Sarawak, kita boleh tanam lebih luas, hasilkan lebih banyak padi dan akhirnya mengurangkan pergantungan kepada import dari Vietnam atau Kemboja,” katanya ketika merasmikan Persidangan Padi Kebangsaan 2025 di sini, malam ini.
Kerajaan negeri, katanya, telah memperuntukkan 14,000 hektar tanah di lokasi strategik termasuk Tanjung Bijat, Sri Aman, Lingga, Simunjan, Lundu, Spaoh, Limbang dan Lawas yang dijangka menghasilkan 240,000 metrik tan beras.


PREMIER Sarawak meluangkan masa melawat reruai pada Persidangan Padi Kebangsaan 2025, hari ini. Foto UKAS
Jika keluasan tanaman digandakan, jelas beliau, pengeluaran mampu mencecah 500,000 metrik tan, melebihi keperluan rakyat Sarawak dan boleh dibekalkan ke seluruh negara.
Beliau turut berkongsi kejayaan projek perintis di Gedong yang meningkatkan hasil padi daripada 1.2 tan kepada 8 tan sehektar melalui penggunaan benih baharu, kaedah moden dan jentera, membuktikan teknologi mampu melonjakkan hasil pertanian negeri.
Selain itu, Sarawak turut membangunkan pengeluaran baja tempatan dengan memanfaatkan hasil sampingan kelapa sawit dan gas untuk menghasilkan urea bagi mengurangkan kebergantungan kepada baja import.
“Kalau kita dapat mengeluarkan benih dan baja sendiri, ditambah kaedah moden serta sokongan MARDI dari segi penyelidikan, Sarawak bukan sahaja mampu capai sara diri tetapi juga membantu negara mengurangkan bil import beras,” tegasnya.
Turut hadir Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Dato Sri Arthur Joseph Kurup, Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah, Datuk Dr Abdul Rahman Ismail, Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Isham Ishak, Setiausaha Tetap M-FICORD, Datuk Sirai Daha, Pengerusi Lembaga Pengelola MARDI, Dr Azman Ismail serta Ketua Pengarah MARDI, Dato Dr Mohamad Zabawi Abdul Ghani.
Oleh Norman B.