
SINGAPURA: Sarawak menyasarkan pencapaian liputan penuh bekalan air di seluruh negeri menjelang 2030 menerusi pelaksanaan Pelan Induk Bekalan Air dan sistem Grid Air yang lebih menyeluruh serta bersepadu.
Menteri Utiliti dan Telekomunikasi, Dato Sri Julaihi Narawi berkata pelan itu dilaksanakan selaras dengan Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030), di mana utiliti merupakan salah satu daripada tujuh pemacu utama pembangunan negeri.
“Setakat ini, liputan keseluruhan bekalan air di Sarawak mencecah 85.4 peratus, manakala kawasan luar bandar pula mencatat kira-kira 70.5 peratus.
“Pelan ini akan memperluaskan sistem grid, menaik taraf loji rawatan air serta menyusun semula struktur pengurusan bagi meningkatkan kecekapan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama pada sesi ‘Regional Partnerships – Tapping Southeast Asia’s Water Market’ yang berlangsung di Singapore Expo, hari ini.
Menurutnya, Sarawak juga sedang membentuk satu entiti tunggal bagi menyelaras pentadbiran dan pengurusan industri bekalan air yang sebelum ini dikendalikan oleh empat entiti berasingan termasuk Lembaga Air Kuching (LAK), Lembaga Air Sibu (LAS), LAKU Management dan Jabatan Bekalan Air Luar Bandar Sarawak (JBALB).
Pendekatan pendigitalan turut diambil melalui penggunaan pusat Kawalan Penyeliaan dan Pemerolehan Data (SCADA), meter pintar serta aplikasi pintar bagi mengesan kebocoran air dalam usaha mengurangkan kehilangan air tidak berhasil.
Tambah Julaihi, Sarawak turut memperkukuh kerjasama serantau dan antarabangsa menerusi pemeteraian beberapa memorandum persefahaman, termasuk dengan Persatuan Air Singapura dan kerjasama teknikal bersama Republik Korea serta institusi penyelidikan luar negara.
“Pengurusan sumber air memerlukan kerjasama rentas sempadan memandangkan cabaran seperti perubahan iklim memberi kesan secara menyeluruh. Kita tidak boleh bertindak secara bersendirian,” tambahnya.