
KUCHING: Kerajaan Sarawak menyasarkan pembangunan dan pemilikan satelit sendiri sebagai langkah strategik bagi memperkukuh keupayaan negeri menangani cabaran perubahan iklim, pemantauan cuaca serta perancangan pembangunan berasaskan data berketepatan tinggi.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, dunia kini berdepan ketidaktentuan iklim yang semakin sukar diramal, sekali gus memerlukan pendekatan baharu dalam pemerhatian dan analisis cuaca.
Menurut beliau, teknologi satelit berorbit rendah (LEO) termasuk penggunaan satelit berskala kecil seperti CubeSats mampu menyediakan data yang lebih tepat dan khusus bagi sesuatu lokasi.
“Kita tidak boleh lagi bergantung sepenuhnya kepada ramalan umum. Kita memerlukan teknologi yang boleh mengenal pasti apa yang berlaku di satu-satu kawasan secara tepat. Sebab itu Sarawak perlu mempunyai satelit sendiri di angkasa lepas,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Sekolah Menengah Antarabangsa Yayasan Sarawak (YSISS) di Batu 12 Jalan Kuching-Serian, hari ini.
Abang Johari menjelaskan bahawa pembangunan teknologi satelit bukan sekadar keperluan sains angkasa, sebaliknya berkait rapat dengan ekonomi baharu yang memanfaatkan data bagi pengurusan sumber alam, pertanian, perancangan guna tanah dan mitigasi bencana.
Sehubungan itu, beliau berkata kerajaan Sarawak telah mengambil langkah awal dengan menubuhkan fakulti aeroangkasa di Kolej Universiti i-CATS bagi melahirkan bakat tempatan dalam bidang berkaitan teknologi angkasa.
“Inilah ekonomi baharu. Daripada data satelit, kita boleh mengetahui struktur bumi, potensi tanah dan laut, serta apa yang sesuai dibangunkan di sesuatu kawasan. Semua ini memerlukan ilmu baharu dan kepakaran tempatan,” katanya.
Beliau menegaskan bahawa pendekatan tersebut selari dengan dasar pendidikan Sarawak yang memberi penekanan kepada Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) sebagai asas pembangunan masa depan negeri.
oleh Adele Rissa