KUCHING: Akauntan memainkan peranan penting dalam usaha membangunkan industri kredit karbon di Sarawak, demikian kata Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Premier Sarawak itu berkata akauntan bertanggungjawab untuk memastikan pelaporan penilaian karbon dapat dilakukan secara telus, sah dan tepat.
”Pengukuran karbon bukanlah satu tugas yang mudah. Ia tidak seperti mengira angka biasa. Ia (gas) sangat sukar untuk diukur kerana ia berdasarkan kualiti.
”Justeru, kita (Sarawak) memerlukan juruaudit untuk menilai karbon yang kita simpan dan juga oksigen yang kita hasilkan.
”Maka sebab inilah kita memerlukan satu lagi kelompok akauntan yang akan memainkan peranan bukan hanya dari sudut kewangan, tetapi juga untuk memastikan ketepatan dan kesahihan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Apresiasi Pemegang Taruh Association of Chartered Certified Accountants (ACCA) 2024 di sini, malam tadi.
Menjelas lanjut, Abang Johari berkata akauntan turut memainkan peranan penting dalam usaha untuk memahami konsep nilai karbon yang tidak ketara tetapi kritikal bagi industri ini.
Sehubungan itu, katanya usaha untuk membangun kepakaran tempatan dalam industri kewangan dan juga perakaunan amat kritikal untuk menyokong inisiatif kerajaan Sarawak dalam pembangunan ekonomi hijau.
”Komitmen ini dicerminkan menerusi inisiatif kita menyediakan pendidikan percuma kepada anak Sarawak bermula 2026 dan ia juga akan merangkumi bidang kewangan dan perakaunan di lima universiti milik Sarawak.
”Kita memerlukan akauntan yang berwibawa untuk mengaudit karbon yang merupakan sesuatu yang tidak ketara dan Sarawak akan memastikan Sarawak berpandukan piawaian Bank Dunia,” ujarnya.
Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Penasihat ACCA Malaysia Manohar Benjamin Johnson, Ketua Portfolio ACCA Maritim Asia Tenggara Andrew Lim, Presiden ACCA Sarawak Peter Chiam dan Datuk Peter Nansian Ngusie.
Oleh Rynna Sha’erra