Sarawak sasar 6,500 peserta sertai Cabaran Angkasa Sarawak 2026

Facebook
X
LinkedIn
WhatsApp
Telegram
UCAPAN… Datuk Sri Roland Sagah Wee Inn menyampaikan ucapan ketika majlis pelancaran Cabaran Angkasa Sarawak 2026 di Universiti Teknologi Swinburne Sarawak.

KUCHING: Sarawak menyasarkan penyertaan seramai 6,500 peserta dalam Cabaran Angkasa Sarawak (Sarawak Space Challenge) 2026 sebagai usaha memperkasa bakat muda dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM), sekali gus melahirkan lebih ramai inovator yang mampu bersaing di peringkat global.

Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat, Datuk Sri Roland Sagah Wee Inn berkata, program yang sebelum ini dikenali sebagai NASA Space Apps Sarawak merupakan inisiatif kementeriannya bagi meningkatkan pendedahan pelajar terhadap sains bumi dan angkasa lepas.

Menurut beliau, program itu adalah sebahagian daripada yang merupakan pertandingan inovasi (hackathon) terbesar di dunia anjuran Agensi Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan Amerika Syarikat (NASA), dengan bimbingan pakar agensi berkenaan.

“Pendidikan merupakan kunci untuk mentransformasikan Sarawak menjadi negeri berpendapatan tinggi. Sebab itu kerajaan negeri memperkenalkan pendidikan tinggi percuma di institusi milik Sarawak serta pelbagai inisiatif lain bagi membangunkan bakat anak negeri.

“Menerusi program seperti Cabaran Angkasa Sarawak, kita memastikan golongan muda bersedia untuk bersaing di peringkat global,” katanya ketika merasmikan majlis pelancaran Cabaran Angkasa Sarawak 2026 di Universiti Teknologi Swinburne Sarawak, di sini, hari ini.

LANCAR… Datuk Sri Roland Sagah Wee Inn bersama tetamu kehormat bergambar selepas melancarkan Cabaran Angkasa Sarawak 2026.

Roland Sagah berkata, lebih 18,000 individu telah menyertai program itu sejak empat tahun lalu dan kerajaan negeri optimis sasaran penyertaan 6,500 peserta pada tahun ini mampu dicapai.

Bagi memperluaskan penyertaan, katanya, sebanyak 50 siri jelajah ke sekolah akan diadakan di seluruh Sarawak, malah penganjur turut merancang membawa program tersebut ke kawasan pedalaman termasuk Bario supaya lebih ramai anak Sarawak berpeluang menyertainya.

“Kita tidak mahu ada sesiapa yang tercicir daripada menyertai program ini,” katanya.

Beliau berkata, dua rakan kerjasama baharu, iaitu OCI TerraSus Sdn. Bhd. dan Pustaka Negeri Sarawak menyertai penganjuran kali ini, melengkapkan kerjasama sedia ada bersama Sarawak Perbadanan Ekonomi Digital, Pihak Berkuasa Multimedia Sarawak (SMA), Academi Realfun, SOL Digital, Universiti Curtin Malaysia, Universiti Teknologi Sarawak (UTS),

Kolej Universiti i-CATS, Pusat Sains Sarawak dan Universiti Teknologi Swinburne Sarawak.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Kelab Sains Komputer Swinburne atas peranan mereka dalam menjayakan majlis pelancaran program berkenaan.

Sementara itu, Roland Sagah berkata, hackathon Cabaran Angkasa Sarawak 2026 akan berlangsung pada 14 dan 15 November ini di empat lokasi serentak iaitu Kuching, Sibu, Miri dan buat julung kalinya di Bintulu.  

Menurut beliau, lokasi di Bintulu akan disokong oleh OCI TerraSus, manakala pertandingan di Miri akan diadakan di Pustaka Miri.

Sibu pula kekal di Universiti Teknologi Sarawak, manakala Kuching diadakan di Makeramai Makerspace, Plaza Merdeka.

Beliau turut menggalakkan lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) untuk melanjutkan pengajian di universiti milik Sarawak seperti Universiti Teknologi Swinburne Sarawak, Universiti Curtin Malaysia atau UTS, sambil menyifatkan pengalaman belajar di luar kawasan asal mampu membuka perspektif baharu.

“Selepas sekian lama berada di rumah, mungkin sudah tiba masanya untuk merasai sendiri pengalaman belajar di bahagian lain di Sarawak dan melihat apa yang ditawarkan oleh negeri ini,” katanya.

Beliau berkata, pendaftaran Cabaran Angkasa Sarawak 2026 kini dibuka kepada orang ramai dan boleh dibuat menerusi  ⁠laman sesawang rasmi Sarawak Space Challenge di https://sarawakspacechallenge.com/.

“Cabaran Angkasa Sarawak memainkan peranan penting dalam melahirkan generasi inovator dan peneroka masa depan. Bersama-sama kita terus memberi inspirasi kepada anak muda untuk menggapai bintang,” katanya.

Oleh Shikin Mahmud