
KUCHING: Kerajaan Sarawak menegaskan komitmennya dalam membangunkan tenaga kerja masa depan dengan menetapkan sasaran untuk melahirkan 500,000 pekerja mahir menjelang 2030.
Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat, Dato Sri Roland Sagah Wee Inn berkata, pembangunan modal insan kini menjadi keutamaan negeri itu seiring dengan kemajuan pesat dalam sektor tenaga, ekonomi digital, pembinaan dan pembuatan.
Menurut beliau, pelbagai inisiatif sedang dilaksanakan bagi memperkukuh ekosistem pendidikan dan latihan kemahiran, termasuk kerjasama strategik dengan institusi pengajian tinggi dan industri.
“Untuk mencapai sasaran ini, kita perlu melahirkan sekurang-kurangnya 30,000 pekerja mahir setiap tahun. Justeru, pendidikan dan pembangunan bakat menjadi aspek kritikal,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Forum Pendidikan Wilayah Utara Australia 2025 di sini hari ini, yang turut dihadiri Menteri Perdagangan, Perniagaan dan Hubungan Asia Wilayah Utara Australia, Robyn Cahill dan delegasi dari Study NT.
Antara inisiatif utama yang diketengahkan ialah Program Dwi Bahasa Sarawak (DLP Sarawak) yang dimulakan pada 2020, menjadikan Sarawak satu-satunya negeri di Malaysia yang mengajar Sains dan Matematik sepenuhnya dalam bahasa Inggeris di semua sekolah kerajaan.
Bagi mengukur impak dasar itu, kerajaan negeri akan memperkenalkan penilaian standard baharu iaitu UP-DLP Sarawak yang akan dilaksanakan buat kali pertama pada Oktober ini bagi murid Tahun 6 dan pelajar Tingkatan 3.
Dalam pada itu, Dato Sri Roland menekankan kepentingan kerjasama antarabangsa yang strategik dan tersusun, dengan mengambil kira keperluan serta perancangan pembangunan negeri.
“Kami terbuka kepada kerjasama dengan Wilayah Utara Australia dalam bidang seperti pertukaran pelajar dan pensyarah, penyelidikan bersama, pembinaan kapasiti guru serta latihan kemahiran dan vokasional (TVET),” katanya.
Sarawak juga ingin menimba pengalaman daripada pendekatan pendidikan unik Wilayah Utara, terutamanya dalam aspek pengajaran berbilang budaya, penglibatan komuniti pribumi, dan latihan vokasional di kawasan pedalaman.
Forum hari ini, katanya, membuka lembaran baharu dalam hubungan dua hala antara Sarawak dan Wilayah Utara Australia, susulan kejayaan kerjasama dalam bidang lain seperti pengurusan buaya dan ekopelancongan sebelum ini.- UKAS