
BINTULU: Pasukan bola keranjang Sarawak mencipta kejutan besar apabila berjaya menyapu bersih enam kategori sekali gus meraih enam pingat emas dalam kejohanan Sukan Olimpik Khas yang berlangsung hari ini.
Pencapaian luar biasa itu membuktikan keunggulan pasukan Sarawak dalam acara bola keranjang, termasuk kategori tradisional dan kategori inklusif yang menggabungkan pemain orang kurang upaya (OKU) bersama pemain normal.
Jurulatih pasukan dari Kuching, Cikgu Morshidi bin Abdullah, meluahkan rasa syukur atas kejayaan tersebut yang disifatkan sebagai hasil usaha gigih pemain serta kerjasama erat antara barisan jurulatih dari Kuching dan Sibu.

“Alhamdulillah, hari ini Sarawak berjaya meraih enam emas dalam bola keranjang. Ini satu pencapaian yang sangat membanggakan dan di luar jangkaan,” katanya.
Menurut beliau, kejayaan itu juga hasil disiplin tinggi serta kesungguhan pemain dalam memahami strategi permainan walaupun berdepan pelbagai cabaran sepanjang latihan dan pertandingan.
Dalam pada itu, beliau turut menyuarakan harapan agar kejayaan ini membuka peluang kepada pemain Sarawak untuk dipilih mewakili negara ke kejohanan peringkat antarabangsa.
“Harapan kami agar atlet dari Sarawak ini dapat membawa nama negeri dan Malaysia ke pentas lebih tinggi, termasuk ke kejohanan World Games nanti,” ujarnya.
Tambahnya lagi, pasukan akan terus memperkukuh latihan dan memperbaiki kelemahan bagi memastikan prestasi cemerlang ini dapat dikekalkan pada masa akan datang.
Oleh Faizah Muzidi