KUCHING: Sarawak akan menyalurkan kebimbangan berhubung jerebu rentas sempadan melalui mekanisme ASEAN bagi membolehkan kejadian kebakaran di negara jiran dibincangkan di peringkat serantau.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, Malaysia merupakan anggota Jawatankuasa Jerebu Rentas Sempadan ASEAN (ASEAN Transboundary Haze Committee) yang membincangkan kejadian jerebu berpunca daripada kebakaran di negara jiran.
“Jadi, apa-apa yang berlaku disebabkan kejadian di negara rakan akan dibincangkan dalam jawatankuasa itu,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas merasmikan Majlis Penyampaian Hadiah Pertandingan Kemahiran Kraf Tangan 2025/2026 anjuran IWCT di sebuah hotel terkemuka di sini, hari ini.
Uggah yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JBPN) berkata, perkara berkenaan akan disalurkan kepada Jabatan Alam Sekitar (JAS) untuk dibawa melalui saluran yang bersesuaian bagi mencari jalan penyelesaian.
“Kita akan salurkan kepada JAS. Mereka akan menyampaikan masalah kita dan mencari jalan bagaimana untuk menyelesaikan masalah tersebut,” tegasnya.
Dalam pada itu, Uggah berkata Sarawak turut perlu mengambil kira kesan kebakaran dan jerebu terhadap negara jiran, khususnya Brunei yang berdekatan dengan kawasan Kuala Baram.
Katanya, kedudukan Brunei menyebabkan negara itu turut berisiko terjejas apabila berlaku kebakaran dan asap bergerak merentasi sempadan.
“Apabila berlaku kebakaran, asap biasanya turut pergi ke Brunei,” ujarnya.
Beliau menjelaskan, isu jerebu rentas sempadan bukan perkara baharu dan memerlukan kerjasama serta penyelarasan antara agensi berkaitan bagi mengurangkan kesannya.
“Memang ada mekanisme dan agensi yang akan melihat bagaimana untuk mencari kaedah bagi meminimumkan kesan jerebu ini,” katanya.
Oleh Adele Rissa




