KUCHING: Sarawak mencatat rekod pendapatan tertinggi dalam sejarah apabila meraih laba RM11.9 bilion tahun lalu, dengan kutipan melalui cukai petroleum dan gas sebagai penyumbang terbesar.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg yang mengumumkannya hari ini berkata, prestasi membanggakan itu melebihi menyaksikan kenaikan 17 peratus berbanding 2021.
“Prestasi ini adalah hasil (pendapatan) tertinggi pernah dicapai Sarawak,” katanya pada sidang media di Kompleks Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini, hari ini.
Difahamkan, hasil tertinggi Sarawak selama ini cuma berkisar antara RM5 hingga RM6 bilion sebelum 2017.
Abang Johari menjelaskan laba yang dicatatkan itu diperoleh melalui empat kategori iaitu hasil cukai, hasil bukan cukai, terimaan bukan hasil serta pemberian dan pembayaran balik Kerajaan Persekutuan.
“Hasil cukai menyumbang RM6.7 bilion atau 56 peratus daripada jumlah hasil, manakala kategori lain membentuk 44 peratus. Di bawah kategori hasil cukai, Cukai Jualan Negeri (SST) menyumbang 84 peratus atau RM5.6 bilion daripada jumlah hasil cukai yang dikutip.
“Produk bercukai di bawah SST, antara lain, terdiri daripada produk minyak dan gas, produk kelapa sawit dan aluminium,” katanya
Beliau berkata, prestasi yang bertambah baik dalam kutipan SST adalah disebabkan oleh harga pasaran lebih tinggi pada 2022 untuk produk minyak dan gas serta produk kelapa sawit.
“Sebelum pengenalan SST ke atas produk minyak dan gas, khususnya bagi tahun kewangan 2018, hasil kutipan ketika itu ialah RM7.2 bilion.
“Justeru, prestasi hasil bagi tahun kewangan 2022 menyaksikan peningkatan sebanyak 65 peratus berbanding 2018,” katanya.
Dalam pada itu, Abang Johari menekankan bahawa kerajaan Sarawak akan terus mengkaji dan meneliti pelbagai inisiatif utama untuk meningkatkan hasil Sarawak melalui meningkatkan, meluaskan dan mempelbagaikan sumber pendapatannya.
“Pada 2022, pelbagai inisiatif telah diperkenalkan seperti menguatkuasakan dasar dividen negeri ke atas Badan Berkanun dan Syarikat Berkaitan Kerajaan, dan mengenakan SST ke atas arang batu.
“Usaha ini adalah penting kerana kerajaan Sarawak terus bersungguh-sungguh meneruskan agenda pembangunannya dan untuk Sarawak menjadi sebuah ekonomi berpendapatan tinggi menjelang 2030 seperti yang digariskan dengan jelas dalam Strategi Pembangunan Pasca-Covid-19 (PCDS) 2030,” katanya.
Oleh NUR AIN OTSMAN